SETIAP pasangan yang bernikah mengimpikan hidup bahagia sehingga akhir hayat.

Namun dalam kegembiraan dan doa selamat yang diharapkan, wujud rasa tidak senang dengan penyatuan dua hati ini sama ada dalam kalangan keluarga terdekat, sahabat-handai, bekas kekasih, atau sesiapa sahaja yang mahu menghancurkan mahligai cinta yang dibina.

Pelbagai cara digunakan untuk menghancurkan keluarga yang dibina.

Salah satu cara yang biasa berlaku dalam masyarakat Melayu ialah sihir pemisah.

Rasa sayang yang ada dalam hati pasangan selama ini bertukar menjadi benci. Tiada lagi kemesraan dalam rumahtangga. 

Yang tinggal; rasa benci, menyampah dan panas dengan tingkah laku pasangan.

Wanita muda awal 30-an, klien sebuah firma guaman meluahkan kekecewaan kerana telah menerima borang permohonan cerai daripada si suami.

Wanita ini ingin mempertahankan rumah tangga mereka kerana percaya si suami masih sayangkan beliau tetapi bertindak sedemikian akibat terkena sihir.

Wanita tersebut mengadu bahawa suami beliau mula bersikap dingin dan lain daripada kebiasaannya.

Daripada seorang yang penyayang, suami beliau kemudian berubah menjadi seorang yang baran.

Sang suami sering mengamuk apabila pulang ke rumah, mencampak kerusi sehingga berselerak keadaan di rumah kelamin dan tidur berasingan.

Menyedari perubahan drastik ini, si isteri menemui ahli pengamal perubatan Islam untuk mendapatkan rawatan. Beliau dan suami disahkan telah terkena sihir pemisah.

Namun, rawatan tidak dapat dilaksanakan dek kerana si suami yang merasakan dirinya normal enggan menghadiri sesi rawatan.

Terkontang-kanting si isteri seorang diri mempertahankan rumah tangga yang ingin dipisahkan.

Timbul tanda tanya di pihak sang isteri, bagaimanakah beliau ingin memberitahu pihak mahkamah bahawa si suami membuat permohonan cerai bukan atas dasar kerelaan, tetapi atas gangguan sihir.

Persoalannya, adakah isu sihir diterima di Mahkamah Syariah?

Menurut Dr Mahyudin Ismail, ‘kena sihir’ boleh dijadikan pembelaan di Mahkamah Syariah.

Ya, memang benar, ketiadaan undang-undang berkaitan sihir di Mahkamah Syariah menyebabkan tiada punca kuasa kepada hakim untuk memutuskan unsur sihir pemisah dalam rumah tangga.

Namun, ini tidak bermakna isu sihir tidak pernah dibicarakan di hadapan Mahkamah Syariah.

Menurut beliau lagi, bagi kes cerai talak, beban pembuktian oleh pihak yang mendakwa perlu diperincikan iaitu:

a) Seorang suami mendakwa talak dilafazkan dalam keadaan dirinya dipengaruhi sihir; atau,

b) Seorang isteri mendakwa suaminya melafazkan talaq dalam keadaan diri suami tersebut dipengaruhi sihir; maka pihak yang mendakwa perlu membuktikan kepada mahkamah bahawa:

i) Wujud tanda-tanda dan ’simptom-simptom lazim terkena sihir’ pada diri suami;

ii) Suami mengalami ketidak warasan/ ketidak sempurnaan akal akibat terkena sihir semasa beliau melafazkan talaq;

iii) Ketidakwarasan pemikiran akibat terkena sihir itu menjejaskan kebolehan untuk mempertimbangkan apa yang dilakukannya itu benar atau salah.


Laporan Khas: Khurafat masih menghantui kita (Siri 1)

Kesimpulannya, dalam membicarakan isu sihir, ada beberapa perkara yang diambil kira oleh Mahkamah iaitu;

1. Pengakuan atau Keterangan Pemohon atau Defendan (Iqrar)
Keterangan dalam bentuk bertulis ataupun berbentuk rakaman audio dan video.

2. Bukti
Bukti yang menunjukkan perubahan drastik kepada karakter suami ketika atau beberapa hari sebelum melafazkan talak.

3. Pendapat pakar
Pakar yang dimaksudkan termasuklah pengamal perubatan Islam yang bertauliah dan mendapat pengiktirafan Jabatan Agama Islam dan Pejabat Mufti. Rawatan yang dijalankan perlu berlandaskan Akidah Islamiyyah.

4. Sumpah Pemohon
Pemohon bersumpah bahawa lafaz talak yang dilafazkan adalah tanpa sedar dan di bawah pengaruh sihir. Sekiranya pemohon bercakap bohong, laknat Allah akan menimpa.

Setelah berpuas hati dengan semua perkara di atas, mahkamah akan memutuskan lafaz talak sabit atau tidak sabit.

Namun, ia bergantung kepada hakim yang mengadili perceraian akibat sihir dengan melihat unsur-unsur pembuktian dan pembelaan sihir.

Sihir ini tujuannya untuk memisahkan pasangan. Jika berpisah, tercapailah hasrat penyihir.

Sistem keadilan dan kehakiman Islam perlu memainkan peranan untuk memerangi jenayah tersembunyi ini agar penyihir dapat dihukum dengan hukuman sewajarnya.

Oleh itu, sihir ini bukan hal yang main-main atau ingin dibuat-buat.

Al-Quran  telah membuktikan kewujudan sihir dari 26 surah dengan 57 ayat. Ia benar-benar wujud jika dibuktikan.

Orang yang terkena sihir mungkin juga tidak mampu berbuat apa-apa malah rasa terhalang untuk ikhtiar berubat.

Sokongan keluarga sangat perlu untuk membantu mangsa sihir.

Sepatutnya dunia hasad dan sihir menyihir sehingga memisahkan hubungan suami isteri tidak wajar dilakukan.

Pelajarilah akhlak dan perbaikilah akidah dari masa ke semasa kerana setiap apa yang kita lakukan akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Namun jika terus teruji, anggaplah ujian dari Allah untuk mengukuhkan akidah kita sebagai hambaNYA yang sentiasa bergantung harap padaNYA.


Laporan Khas | Berita merindu angkara di sihir (Siri 2)
 
Nota: Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-33 yang bersidang pada 11 Oktober 1993 berkenaan Amalan Ilmu Hitam/Sihir:
  1. Perbuatan sihir adalah dosa besar dan boleh membawa kepada syirik dan hukum mempelajarinya adalah haram.
  2. Pengamal sihir yang mendatangkan mudarat kepada manusia adalah berdosa besar dan pelaku jenayah, maka wajib dihukum qisas/hudud.
  3. Pihak berkaitan hendaklah menyediakan peruntukan undang-undang bagi menghukum pengamal-pengamal yang sabit melakukan sihir.

* Dr Norsuhaida Che Musa merupakan Pensyarah dan Penyelaras Klinik Guaman Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

** A. Halim Abu Bakar merupakan Panel Peguam Syarie, Klinik Guaman Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

*** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.