SELANG 10 bulan gelanggang pilihan raya kembali menggegarkan landskap politik negara.

Kehadirannya yang telah dinanti-nantikan turut memeriahkan demokrasi dan politik. Lebih 9.7 juta orang pengundi layak untuk keluar mengundi bulan depan.

Pilihan raya merupakan salah satu daripada empat komponen utama amalan demokrasi. Hak untuk rakyat menyertai secara langsung bagi memilih wakil pilihan mereka untuk bersuara di dewan perundangan sebagai nadi mereka.

Kali ini giliran untuk memilih anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) enam buah negeri yang memutuskan untuk tidak mengadakan pilihan raya secara serentak akhir tahun lepas.

Lebih 570 calon telah berjaya melepasi proses pertama yang berlangsung pada Sabtu 29 Julai - hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan.

Berbanding ketika pilihan raya umum (PRU) tahun 2018, jumlah calon yang bersaing kali ini adalah lebih rendah. Kurang seramai 161 orang. Selain itu, gabungan yang sah bertanding juga sedikit berbanding ketika PRU ke-15 November lalu.

Hanya dua blok gabungan yang turun gelanggang, iaitu yang mewakili parti-parti yang menganggotai Kerajaan Perpaduan dan Perikatan Nasional (PN). Tiga gabungan utama bersaing tetapi persaingan hanya melibatkan dua buah blok.

Keenam-enam negeri terbabit memutuskan untuk tidak mengadakan pilihan raya serentak dengan PRU15 peringkat parlimen.

Hanya tiga negeri yang mengambil langkah persekutuan untuk membubarkan DUN masing-masing bagi membuka laluan bagi PRU15.

Alasan enam negeri terbabit tidak mahu membebankan rakyat memandangkan PRU15 yang dipanggil hampir sama waktu dengan kemungkinan musim banjir dan tengkujuh.

Di bawah perundangan semasa, Suruhanya Pilihan Raya (SPR) perlu mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran.

Maka, hari pengundian diadakan untuk kerusi-kerusi parliman dan DUN bagi tiga negeri iaitu Perlis, Perak dan Pahang pada 19 November, dan pilihan raya kecil (PRK) bagi satu kerusi DUN di Sabah.

Kini giliran melibatkan enam buah negeri, dan secara kebetulan wujud kekosongan bagi kerusi parlimen Kuala Terengganu.

Bagi mengisi kekosongan itu, PRK diadakan serentak pada tarikh yang sama iaitu 12 Ogos ini.

PRU15 telah menghidangkan lebih 10 keunikan dan kelainan, secara langsung mewarnai musim pilihan raya November lalu.

Keunikan PRN

PRN enam negeri juga memperlihatkan beberapa keunikan tersendiri.

Salah satunya pembubaran kesemua DUN serentak dalam satu tempoh yang sama, sebagaimana telah diputuskan secara bersama oleh kepimpinan kerajaan negeri masing-masing awal tahun ini, walaupun mereka membawa ideologi politik yang berbeza.

Situasi seperti itu tidak pernah disaksikan sebelum ini. Dalam erti kata lain, keputusan dan pendirian ini sebenarnya menunjukkan bahawa notis awal boleh diberikan supaya kesemua pemegang taruh bersiap sedia untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya dengan aktif.

Ini termasuklah SPR, parti-parti politik dan calon, serta pengundi. Kesemua mereka merupakan pemegang taruh utama dalam landskap pilihan raya negara.

Keunikan kedua termasuklah gandingan politik dua buah gabungan yang bersaing sengit dan merupakan musuh politik selama ini.

Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) - sebahagian daripada komponen kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari ini, turun sebagai satu blok untuk berhadapan dengan PN.

Sepanjang lebih enam dekad BN, yang sehingga awal 1970-an dikenali sebagai Parti Perikatan (Perikatan), memutuskan untuk membentuk kerjasama politik untuk menghadapi saingan mereka dalam pilihan raya.

Bagi PN, yang ditubuh dan dilancarkan secara rasmi menjelang PRN Sabah pada tahun 2020, PRN enam negeri ini merupakan yang sulung.

Pertama, bagi PN untuk bersaing dalam PRN di enam buah negeri, meskipun telah mencuba nasib mereka di PRN Johor dan Melaka sebelum ini serta di Perlis, Pahang dan Perak pada November lalu.

PRN kali ini hanya membabitkan enam negeri. Tiga daripadanya diterajui oleh PH manakala Kelantan, Terengganu dan Kedah oleh komponen PN iaitu Pas.

Pas memimpin Kelantan sejak 1990. Dalam PRU14 lima tahun lalu Kelantan dan Terengganu dimenangi oleh Pas yang bertanding secara solo menggunakan lambang mereka.

Susulan keputusan PRU14, kerajaan negeri ditadbir oleh kepimpinan Bersatu, yang ketika itu merupakan sebahagian daripada PH.

Bagaimanapun, susulan Langkah Sheraton Februari 2020, yang membawa kepada kejatuhan kerajaan 22 bulan PH, peneraju Kedah turut berubah dengan sokongan Bersatu yang keluar PH dan BN.

Ketika pembubaran DUN Kedah bulan lepas, daripada 36 kerusi, PN memiliki 20 kerusi iaitu Pas sebanyak 14 manakala Bersatu enam), PH menguasai 10 kerusi (PKR lima, Amanah tiga dan DAP dua) manakala BN pula dua kerusi dan Parti Pejuang Tanah Air (dua).

Gelanggang persaingan kini terbuka dengan selesainya proses penamaan calon semalam.

Calon-calon yang bersaing mempunyai 14 hari untuk berkempen. Dua puluh empat jam telah pun berlalu, dan berbaki 13 hari menjelang 12 Ogos.

Di atas kertas, PRN hanya membabitkan enam buah negeri. Tetapi impaknya merentasi seluruh negara. Seolah-olah kesannya melibatkan seluruh nasional.

Terdapat pelbagai faktor dan sebab mengapa PRN ini dilihat sebagai satu gelombang kesan melibatkan seluruh negara.

Persaingan melibatkan gabungan utama yang turut bertanding sebagai blok khusus susulan pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Kerajaan perpaduan hari ini hanya dibentuk 10 bulan yang lalu susulan PRU15 November lepas.

Gelombang sentimen yang disaksikan November lalu masih dirasai. Adakah gelombang ini masih segar?

Jika segar, sejauh mana ia akan memberi kesan ke atas pola pengundian dan seterusnya keputusan pada 12 Ogos ini?

Keduanya, sebagaimana negara saksikan gelombang serangan ke atas pentadbiran kerajaan Pusat selama hampir dua tahun selepas PRU14, persekitaran yang sama wujud sepanjang 10 bulan lalu.

Tiada PRN sepanjang tempoh 2018-2020, kecuali sejumlah PRK. Kecaman dan kritikan yang bertubi-tubi juga telah membentuk satu lapisan persepsi yang turut menyumbang kepada kejatuhan kerajaan ketika itu.

Gelombang serangan yang sama wujud sepanjang tempoh selama 10 bulan lalu dan keadaan itu dilihat bakal mempengaruhi keputusan PRN sekarang.

Ketiganya, isu-isu seperti sosioekonomi turut menghantui kedua-dua peringkat nasional dan negeri. Justeru, pastinya parti-parti yang bertanding akan menjadikan isu-isu ini sebagai modal penting dalam tempoh berkempen.

Sejak awal lagi pihak berkuasa telah menasihatkan dan mengingatkan parti-parti politik menjauhi isu 3R sebagai bahan kempen.

Keempat, meskipun enam negeri kembali kepada rakyat untuk mendapatkan mandat baharu, tetapi fokusnya lebih kepada Selangor.

Selangor yang merupakan jiran ibu negara (satu ketika Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sebahagian daripada kawasan dalam Selangor), dan pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan Putrajaya, selain negeri termaju dan terkaya di Malaysia, sudah pasti menjadi perhatian kesemua parti untuk 'mendirikan tapak kuasa susulan dan tambahan'.

PRN kali ini meskipun hanya menyaksikan persaingan bagi enam buah negeri - timur, utara dan tengah Semenanjung Malaysia, tetapi impaknya sudah dirasai di seluruh negara.

Kesemua enam negeri mempunyai keunikan dan kelainan tersendiri dalam menarik perhatian rakyat jelata dan sesiapa sahaja berminat dengan perkembangan di Malaysia.

Oleh itu, bakal keputusan dan impaknya sudah pasti akan mewarnai landskap politik dan pilihan raya negara dalam fasa seterusnya.

Selamat berkempen dengan berhemah!



* Dr G Manimaran ialah penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang & Tadbir juga merupakan penganalisis pilihan raya.

* Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis berdasarkan bidang tugasnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.