Sepanjang dua tahun, umat Islam di Malaysia menunaikan solat dalam keadaan norma baharu iaitu dengan penjarakkan saf bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Namun, keadaan tahun ini kembali dalam keadaan yang lebih baik apabila kerajaan telah membenarkan saf dirapatkan seterusnya memberi ruang yang sebaik mungkin untuk umat Islam mengerjakan solat sunat tarawih.
Secara tradisinya, seminggu sebelum tibanya Ramadan, pelbagai persiapan telah dilakukan sama ada melibatkan individu ataupun pihak masjid bagi memberi keselesaan kepada jemaah yang bakal menunaikan solat sunat tarawih.
Pihak jawatankuasa sibuk membuat perancangan bagi memastikan aktiviti yang dirancang berjalan lancar.
Para imam pula tidak kurang hebatnya dengan persediaan bacaan al-Qur’an bagi memperoleh kesempurnaan dalam solat.
Tidak lupa para penceramah yang telah membuat persediaan rapi bagi menyampaikan tazkirah sepanjang Ramadan.
JENDELA RAMADAN AL-MUBARAK
Namun, segala perancangan tersebut terpakasa diubah keseluruhannya apabila tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan sebelum ini.
Dalam hal ini, persediaan Ramadan tertumpu kepada setiap ketua keluarga yang bakal menjadi imam tetap solat berjemaah dan tarawih bersama keluarga.
Ini merupakan ibrah yang besar di sebalik penularan virus COVID-19 kepada golongan lelaki bagi memimpin keluarga khususnya dalam bab ibadah dalam bulan Ramadan.
Setelah berlalunya tempoh tersebut, umat Islam akan kembali memenuhkan ruang-ruang saf di surau dan masjid dalam kapasiti maksimum.
Apabila tibanya Ramadan, pasti solat sunat tarawih akan menjadi tumpuan utama umat Islam setelah seharian menunaikan ibadah puasa.
Menghidupakan malam-malam di bulan Ramadan menjadi suatu tuntutan utama umat Islam.
Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: “Barangsiapa yang mendirikan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan, akan diampunkan baginya segala dosa yang telah lalu” [Hadis Riwayat al-Bukhari].
Berdasarkan hadis tersebut, Nabi SAW memberi gambaran agar kepada kita berusaha menghidupkan malam-malam di bulan Ramadan dengan melaksanakan solat sunat tarawih, bertadarus, bertahajud dan lain-lain.
Ganjaran yang dijanjikan Allah SWT adalah suatu yang sangat besar iaitu penghapusan segala dosa yang telah dilakukan.
Al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan dalam Fath al-Bari yang membawa maksud menghidupkan Ramadan adalah merujuk kepada solat sunat tarawih.
Walaupun solat sunat tarawih ini tidak wajib dilaksanakan, namun, ian merupakan sunnah yang sangat dituntut.
Jika sebelum ini, ketua keluarga mampu memimpin ahli keluarga masing-masing mengerjakan solat sunat tarawih, maka pastikan peluang untuk solat di masjid dan surau pada tahun ini tidak disia-siakan.
Hidupkan Ramadan tahun ini sebaik yang mungkin dengan membawa ahli keluarga menunaikan solat sunnat tarawih di masjid dan surau.
Kedudukan suami sebagai ketua keluarga adalah bertanggungjawab memimpin rumah tangga serta membimbing ahli keluarganya mengikut panduan yang ditetapkan syara’.
Firman Allah SWT dalam al-Qur’an yang bermaksud: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa” [Surah Toha, ayat 132].
Maka perlunya persediaan awal daripada suami dan ayah sebagai ulangkaji kepada ahli keluarga bagi memastikan solat tarawih yang dilaksanakan nanti adalah yang terbaik khususnya solat sunat tarawih yang dilakukan hanya dalam satu bulan sahaja setahun, sudah tentu persediaan dan ulangkaji perlu dilakukan.
Ini bertitik tolak dari segi ilmu pengetahuan dan hukum hakam tentang perkara utama yang perlu ada dalam solat sunat tersebut. Tambahan pula setelah dua tahun bersolat dalam keadaan norma baharu.
Selain dari itu, tadarus al-Qur’an juga menjadi aktiviti wajib sepanjang Ramadan dengan azam untuk mengkhatamkan keseluruhan al-Qur’an.
Sudah pasti kelainan akan dirasai apabila majlis tadarus al-Quran dalam diadakan sebagaimana biasa du masjid dan surau.
Aktiviti ini bukan sahaja dapat memperkukuhkan kembali penguasaan bacaan al-Qur’an semata-mata, bahkan dapat merapatkan kembali jurang antara jemaah yang sekian lama tidak bersua.
Selain dari itu, peluang ini juga perlu digunakan sebaik mungkin untuk mentadabur ayat-ayat al-Qur’an khususnya surah-surah lazim yang menjadi kebiasaan bacaan dalam solat.
Allah SWT berfirman dalam al-Qur’an yang bermaksud: "Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan membezakan antara yang benar dengan yang salah." [Surah al-Baqarah, ayat 185].
Justeru itu, Ramadan tahun ini jangan dibiarkan berlalu tanpa dosa diampunkan dan tanpa doa yang dimakbulkan.
Ayuh sama-sama kita memenuhkan ruang-ruang saf di masjid dan surau dan menghidupkan malam-malam di bulan Ramadan dengan kadar yang paling baik.
Mudah-mudahan segala amalan yang dilaksanakan nanti akan diterima dan dilipatkali gandakan pahala oleh Allah WT.
* Dr. Khairul Asyraf Mohd Nathir ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.