Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata beliau juga akan berhubung dengan tiga persatuan wartawan iaitu Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM), Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) bagi tujuan tersebut.
"Saya akan berhubung dengan pihak NUJM, CIJ dan Geramm untuk cuba memahamkan dulu (isu yang dibangkitkan) sebab ini hanya melalui laporan media sebelum ni.
"Walaupun draf itu bukan di bawah jagaan Kementerian Komunikasi, tapi saya sedia mendengar pandangan daripada rakan-rakan media dan insya-Allah kita akan cuba untuk sampaikan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di Menara KWSP Kwasa Damansara, di sini.
Sebelum ini tiga persatuan itu menuntut penjelasan daripada Kementerian Dalam Negeri berhubung cadangan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, berikutan desas-desus bahawa syarat dan penalti bagi media akan diperluas dan diperketatkan di bawah pindaan berkenaan
Menerusi kenyataan bersama NUJM, CIJ dan Geramm menyatakan mereka memandang serius perkembangan tersebut kerana ia dikhuatiri akan memberi impak besar kepada organisasi dan petugas media serta menggugat kebebasan media di Malaysia.
Sementara itu Fahmi mengingatkan semua pihak supaya berhati-hati dalam menjadikan media sosial sebagai sumber maklumat, susulan dakwaan sebuah syarikat pelaburan hartanah berkaitan langkah kerajaan membelanjakan hampir RM14 juta bagi membaik pulih tandas.
Beliau berkata perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan beliau tidak mempunyai maklumat mengenainya.
"Bukan semua yang kita baca itu, pertama tepat, kedua penuh konteksnya, (kerana) kadang-kadang ia dimuat naik dengan sebab musabab yang diketahui oleh hanya mereka yang memuat naik.
"Maksudnya mungkin ada niat tersendiri. Jadi jangan ada keadaan trial by media, tapi kita akan teliti perkara ini," katanya.
-- BERNAMA