Tragedi mandi sungai: Mayat Nur Arina ditemui 7 kilometer dari lokasi hilang
Mayat seorang wanita yang hilang dihanyutkan arus semasa mandi-manda bersama ahli keluarganya di Sungai Air Beruk, Jalan Padang Setang, Kampung Kerunai di Gerik pada petang Ahad ditemui hari ini.
Abd Razak Mohd Ali
Tue Nov 19 2024
Mayat mangsa ditemui oleh Pasukan Bomba Sukarela Kerunai pada jam 4 petang, tersangkut di dahan pokok di dalam air berhampiran tebing. - Gambar/ JBPM
IPOH: Mayat seorang wanita yang hilang dihanyutkan arus semasa mandi-manda bersama ahli keluarganya di Sungai Air Beruk, Jalan Padang Setang, Kampung Kerunai di Gerik pada petang Ahad ditemui hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mayat Nur Arina Azizan, 20, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Sungai Rui, kira-kira tujuh kilometer dari lokasi mangsa dihanyutkan.
Menurutnya, mangsa ditemui oleh Pasukan Bomba Sukarela Kerunai pada jam 4 petang, tersangkut di dahan pokok di dalam air berhampiran tebing.