SHAH ALAM: Seorang nelayan berusia 59 tahun ditemukan lemas di kedudukan 8.1 batu nautika barat daya Pulau Ketam, dekat sini pada pukul 10.45 pagi semalam.

Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata Chia Hap Swa ditemukan pihaknya, selepas lelaki itu dilaporkan jatuh laut pada kedudukan tujuh batu nautika tenggara Pulau Ketam pada pukul 9.30 pagi, Khamis lepas.

"Mayat mangsa yang ditemukan dengan berpakaian baju hijau muda berseluar panjang itu telah diserahkan ke pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Berikutan penemuan mayat mangsa, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) yang bermula Khamis lepas, telah ditamatkan pukul 1.15 tengah hari semalam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Muhaimin berkata berdasarkan maklumat diterima pihaknya, mangsa bersama rakan telah ke laut untuk menangkap ikan sebelum disedari terjatuh daripada vesel.

"Bertindak atas maklumat, dua aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah diatur gerak ke lokasi bersama aset Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah dan bantuan komuniti nelayan tempatan untuk melakukan pencarian," katanya.

Susulan itu, Abdul Muhaimin mengingatkan orang awam agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut terutamanya ketika Monsun Timur Laut sedang melanda negara.

"Sebarang maklumat, aduan dan insiden kecemasan di laut boleh menyalurkan ke Pusat Operasi Maritim Selangor melalui talian 013-6606652 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera," katanya.

-- BERNAMA