PENGENALAN

Hukuman yang dijatuhkan terhadap mantan Perdana Menteri ke-6 Malaysia (PM-6) baru-baru ini telah membuka lembaran baharu kepada landskap sosioekonomi dan politik negara.

Rakyat mula berkeyakinan dengan sistem sedia ada yang menampakkan perkembangan positif secara dalam talian dan luar talian.


Sentimen di kedai kopi juga mungkin berbeza sedikit dengan berita sensasi yang melibatkan isteri mantan PM-6 dan lain-lain aktor politik berprofil tinggi yang pernah menduduki kerusi di dalam kerajaan politik (political government).

Artikel kali ini akan menghuraikan iktibar yang perlu diambil oleh penjawat awam dalam mendepani cabaran dan peluang baharu akibat daripada kes berprofil tinggi ini.

Keupayaan dan kecemerlangan operasi Perkhidmatan Awam (PA) dalam merencana program dan projek awam dijangka akan mengalami perubahan akibat daripada penghakiman ini.

Kebebasan, ketelusan dan kesaksamaan perlu dijadikan asas utama dalam pengoperasian dasar-dasar awam masa depan.

Kebergantungan terhadap nafsu politik perlu dinilai semula dan tidak membuta tuli, supaya pengurusan wang awam dipelihara dan dibelanjakan dengan sebaiknya.

Dalam hubungan ini, penulis mengenal pasti empat iktibar besar yang boleh diambil oleh segenap lapisan masyarakat supaya ianya menjadi pengajaran dan rujukan semua.

Iktibar 1: Budaya patronage

Setelah British mula meninggalkan Malaysia di awal 1960an, PA adalah dalam keadaan yang cukup teratur dalam konteks pentadbiran am, aturan kerja dan lain-lain pengoperasian tadbir urus sektor awam.

Malahan, ia dilihat bebas daripada isu-isu negatif berkaitan governan dan integriti.

Bagaimanapun, budaya patronage yang ditinggalkan oleh penjajah telah banyak memberi kesan negatif khususnya perkara-perkara yang melanggari peraturan dan undang-undang.

Budaya ini telah membuatkan aktor politik ditatang bagai minyak yang penuh seterusnya ‘berjangkit’ dalam kalangan penjawat awam khususnya dalam kalangan para pegawai PA.

Pemimpin seolah-olah diberi peluang untuk berbuat apa sahaja oleh kerana ia disokong oleh penjawat awam yang patuh membuta tuli arahan menteri dan lantikan politik dalam ekosistem PA.

Jika tidak, ‘tindakan’ yang kurang manis akan ditanggung oleh penjawat awam khususnya dalam proses kenaikan pangkat.

Budaya ini harus dikikis sama sekali oleh kerana ramai penjawat awam telah terjerumus dalam rasuah dan salah guna kuasa seterusnya diambil tindakan mahkamah yang mengakibatkan kerjaya pegawai awam terjejas.

Ini adalah akibat daripada budaya patronage yang melampau sehingga termakan diri sendiri.

Dalam hubungan ini, definisi patuh, taat dan hormat perlu dilihat dan dinilai semula bagi membendung budaya tidak sihat ini terus bergelumang dan diwarisi generasi penjawat awam masa hadapan.

Kita perlu mencontohi negara yang tidak mengagungkan ketua secara membuta tuli supaya imej dan kecemerlangan PA dapat dipulihkan di mata masyarakat.

Budaya patronage ini juga telah mengakibatkan pelan kerjaya atau succession planning PA terjejas oleh kerana sistem yang ada didorong oleh persepsi dan bukannya fakta, yang akhirnya mengecewakan penjawat awam yang benar-benar ingin berkhidmat untuk rakyat dan negara.

Iktibar 2: Pelan kerjaya berkesan

Bagi memenuhi agenda kerajaan politik, pemimpin politik perlu dikelilingi dirinya dengan ‘orang kanan’ (rasmi dan tidak rasmi) yang boleh melaksanakan agenda ‘rakyat’ mereka.

Bagi membolehkan ia tercapai dengan berkesan dan cekap, penjawat awam merupakan kumpulan pengurusan yang mempunyai kemahiran dan akses kepada sumber bagi menjamin agenda kerajaan politik dijayakan.

Disebabkan unsur patuh dan hormat itu tadi, penjawat awam yang ‘cekap’ akan mengesan kelompangan dalam proses dan tatacara kerja yang dapat memenuhi kehendak aktor politik.

Ini jelas terbukti melalui Laporan Ketua Audit Negara yang melaporkan wang awam disalah guna dan disalah tafsir sehingga kerajaan kerugian berbilion Ringgit dalam perbelanjaan wang awam.

Jawatankuasa ditubuhkan untuk tindakan undang-undang diambil ke atas pegawai awam terlibat dan jarang sekali wakil yang dipilih rakyat dikenakan tindakan disiplin atau mahkamah.

Akibatnya, pelan kerjaya penjawat awam hanya tinggal sebagai dokumen kosmetik dan pelaksanaanya amat lemah akibat daripada modal insan yang dipilih untuk menduduki kerusi strategik dan kepimpinan diisi oleh penjawat awam yang tidak kompeten dalam memastikan wang awam ditadbir urus berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada.

Jika benar pegawai muda yang berkelayakan tinggi cekap mengendalikan proses kerja di kementerian/ agensi, maka perlu ada satu mekanisme baharu dalam struktur gaji, urusan pengambilan, lantikan dan naik pangkat pegawai awam di peringkat Suruhanjaya.

Sintaksisnya, pelan kerjaya para pegawai terjamin masa hadapannya supaya ia tidak lagi tercemar dengan modal insan yang sentiasa terikat dengan agenda aktor politik yang selalunya pura-pura tidak sedar akan kewujudan peraturan dan undang-undang PA.

Iktibar 3: Proses kreativiti dan inovasi

Akibat daripada pelan kerjaya yang longgar dan budaya patronage yang melampau, pegawai terdedah kepada proses kerja yang rutin.

Kecenderungan pegawai terhadap kerja-kerja strategik kurang, seterusnya penyelesaian kepada isu-isu strategik diserahkan kepada pakar runding luar atau vendor.

Sedangkan modal insan di dalam PA mempunyai keupayaan dan kemahiran sama atau lebih baik daripada penyedia perkhidmatan yang menawarkan harga yang amat mahal.

Keupayaan modal insan di dalam PA Malaysia sebenarnya adalah antara terbaik di peringkat serantau dan dunia amnya.

Malaysia dijadikan rujukan dalam pelbagai aspek oleh negara-negara luar khususnya negara membangun.

Malangnya hakisan terhadap kreativiti dan inovasi tampak jelas apabila pelan kerjaya yang ‘diidamkan’ tidak dilaksanakan sebagaimana yang dirancang.

Ini kerana penjawat awam lebih gemar dengan kerja-kerja kosmetik dan ceremonial yang tidak memerlukan keupayaan intelektual yang tinggi hanya kumpulan kecil sahaja yang berfikiran strategik dan dijadikan tunggangan organisasi.

Ahli akademik turut berpendapat, jika sesebuah negara yang ekonominya digerakkan oleh rent-seeker atau orang tengah, maka generasi masa depan juga akan terpengaruh dengan budaya ceremonial dalam proses pembangunan sosioekonomi negara.

Akhirnya, struktur sosial negara dijajah dengan mudah oleh pihak luar yang akan mengaut keuntungan besar daripada kekayaan negara.

Hakikatnya, PA hari ini sudah pun bersedia untuk melangkah ke era baharu ekonomi dunia, tetapi jika ia terus didorong dengan kerajaan politik yang bersifat ceremonial dan kosmetik, maka adalah sukar bagi melahirkan modal insan yang berupaya memacu pembangunan sosioekonomi dengan lebih kreatif dan inovatif.

Iktibar 4: Transformasi struktur

Ternyata PA hari ini adalah gambaran sebuah struktur organisasi yang bertindan fungsi dan tanggungjawabnya.

Penubuhan agensi-agensi baharu di kementerian dilihat sebagai ruang dan peluang kepada aktor politik di dalam kerajaan memenuhi agenda politik melalui program dan projek yang menelan belanja peruntukan yang besar.

Malahan, lantikan profesional dalam pengurusan agensi-agensi ini bukanlah selalunya melalui proses biasa dan diberi gaji lumayan supaya sepadan dengan gaji profesional di sektor komersial.

Penjawat awam sedar bahawa mentaliti golongan ini tidaklah semuanya berorientasikan rakyat dan negara, tetapi lebih kepada material semata-mata.

Idea yang difikirkan bernas sebenarnya telahpun dilaksanakan oleh penjawat awam tetapi tidak ‘dipromosikan’ dengan baik sahaja.

Ia tidak inklusif dalam pelaksanaannya menyebabkan PA dilihat tidak menyusun program dan projek dengan berkesan.

Sebenarnya, penjawat awam tidak dilatih untuk mengembar-gemburkan program dan projek yang diperuntukkan selain kekangan lain.

Selagi ia sampai ke peringkat akar umbi dan memanfaatkan orang awam, itu sudah memadai.

Dalam hubungan ini, penjawat awam masa hadapan perlu menghayati dan menerap mentaliti start-up dalam merangka dasar dan strategi awam.

Start-up adalah model perniagaan yang berorientasikan kekangan modal yang terhad dan memberi tumpuan kepada kreativiti dan inovasi, unik, luar kotak dan berupaya memberi impak besar kepada masyarakat dengan kos yang rendah.

Oleh demikian, sudah tiba masanya untuk semua Ketua Setiausaha dan Ketua Perkhidmatan merealisasikan transformasi struktur dengan kembali ke meja bulat dan berbincang untuk menilai semua fungsi dan tanggungjawab agensi-agensi yang lapuk dan membebankan ini.

Pasukan Pemudahcara (PEMUDAH) yang ditubuhkan perlu diaktifkan semula (tanpa kehadiran pihak swasta) untuk merangka satu pelan turn around dalam merungkai permasalahan seterusnya menyelesaikan isu bloated civil service, governan dan integriti yang sudah lama membelenggu.

Rumusan

Hukuman bersejarah yang dijatuhkan terhadap mantan Perdana Menteri Malaysia baru-baru ini bukanlah perkara baharu di mana-mana negara lain di dunia.

Apa yang berbeza adalah beliau merupakan Perdana Menteri pertama dalam sejarah Malaysia/ Malaya dijatuhkan hukuman penjara akibat daripada pelbagai tuduhan.

Jika dilihat, imej Institusi Kehakiman negara sedang kembali pulih setelah terpalit dengan pelbagai fitnah dan buruk sangka selama ini.

Laporan Ketua Audit Negara juga perlu terus menjadi mekanisme semak dan imbang wang awam supaya dasar yang dirangka tidak terbeban dengan agenda politik melampau, pelaksanaan program dan projek yang bebas ketirisan dan kesilapan/penipuan seterusnya peraturan dan undang-undang sedia ada terus dipatuhi dalam memastikan kepentingan rakyat terbela.

Kenyataan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia baru-baru ini di University Cambridge, United Kingdom mampu membawa suntikan baharu kepada PA di mana siasatan kes berprofil tinggi mencerminkan tiada pilih kasih dalam penguatkuasaan undang-undang.

Dapatlah dirumuskan bahawa untuk mengembalikan kegemilangan pengoperasian Perkhidmatan Awam sebagaimana yang ditinggalkan British dahulu, nilai-nilai tauhid dan feqah juga perlu disuburkan semula seperti yang disaran oleh Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Kamal Hasan supaya penjawat awam tidak terpalit dengan perbuatan mungkar dan keji di sisi tuhan.

Secara tidak langsung hasrat murni kerajaan politik yang ingin mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik, peningkatan produktiviti, peningkatan pendapatan rakyat dan proses sosio ekonomi dan politik negara direalisasikan dengan lebih inklusif, berdaya saing dan berdaya tahan.
 


* Shuhardi TR Aznan ialah calon PhD di Jabatan Sejarah Universiti Malaya. Pengkhususan kajian beliau adalah berkaitan evolusi Perkhidmatan Awam dan kesannya terhadap pembangunan institusi pasca DEB.

** Artikel ini adalah daripada pandangan peribadi berdasarkan bidang kerjaya penulis, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.