SELEPAS empat tahun persediaan, pasukan harimau kita sudah bersiap siaga ke Sukan Olimpik Paris 2024.


Ringkasan AI
  • Selepas 4 tahun persediaan, pasukan Harimau kita sudah bersiap siaga ke Sukan Olimpik Paris 2024. Inilah saatnya sekali lagi pasukan harimau kita diberi peluang untuk menatang nama Malaysia, mengibar Jalur Gemilang, gah menayang Belang Rimau dan membuka gelanggang radu bertarung dan mengasak lawan.


Inilah saatnya sekali lagi pasukan harimau kita diberi peluang untuk menatang nama Malaysia, mengibar Jalur Gemilang, gah menayang belang rimau dan membuka gelanggang radu bertarung dan mengasak lawan.

Inilah tempat dan masanya, perjuangan bagi kesemua kurang lebih 20 orang pasukan atlet kita yang akan bermati- matian dilanyak kekuatan fizikalnya dan ditekan-tekan semangat juangnya sehingga ditiupkan wisel penamat.

Adalah dalam kefahaman kita semua bahawa keperluan menempuh jalan untuk membawa pulang pingat emas Olimpik ini bukan calang-calang.

Untuk mempersiapkan kurang lebih 20 orang atlet kita ke sebuah perjuangan yang sukar dan besar ini menuntut setinggi-tinggi ketelitian dari sebesar-besar perkara hingga sekecil-kecilnya.

Dan pekerjaan mereka pakaian kontijen negara bagi Olimpik Paris itu sepatutnya duduk dalam tangga perkerjaan paling mudah.

Keputusan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk meluluskan reka pakaian kontijen negara bagi Olimpik Paris 2024 menunjukkan ketidaktelitian membuat keputusan.

Hal ini tidak patut dilencongkan kepada penaja rekaan pakaian (Yonex Sunrise) dengan alasan rekaan adalah daripada penaja dan perlu mengambil kira faktor kos.

Sebagai badan berautoriti dalam hal ehwal sukan olimpik negara, MOM punya masa empat tahun untuk harus berkebolehan mengurus kos mereka pakaian hingga siap jadi. Bukan asal ada, asal orang taja kita terima.

Banyak jenama pakaian sukan tempatan yang berkebolehan mereka pakaian sukan dan faham keperluan pakaian atlit antaranya Voltra, Al-ikhsan, Dribblack dan lain-lain.

Ini adalah satu kerugian tak terjadinya usaha sama antara MOM dengan bakat-bakat tempatan. Sepatutnya, ini boleh memberi peluang kepada bakat  bakat tempatan ke pentas antarabangsa.

Lebih tidak cermat apabila MOM membalas kritikan masyarakat tentang reka pakaian pasukan kontijen kita dengan jawapan, "tiada makna pakaian cantik tapi tak bawa pulang emas."

Ia tidak menggambarkan sikap lain selain sikap sombong atas kritikan.

Apa yang mahu didabik dada meminta-minta emas kalau perkerjaan paling mudah, mereka pakaian pun MOM sendiri gagal?

Sebagai peminat sukan ataupun masyarakat biasa, perkongsian perasmian rekaan pakaian kontijen menjadi perkara pertama yang ditunggu-tunggu.

Sebab kita tahu reka pakaian kita adalah perkara pertama yang akan membawa imej negara ketika cahaya lampu sorot disimbah dan menjadi tontonan satu dunia.

Tiada makna menyarung sepatu Prada tapi tidak berkebolehan punya deria rasa dan hati untuk meluluskan reka pakaian kontijen yang semenggah.

 Atlet kita punya hak untuk dipenuhi segala keperluannya, dan adalah kewajipan badan pelaksana untuk mendukung tanggungjawab dengan baik.

Kemestian untuk masyarakat menyemak kerja badan pelaksana agar sukan kita terus maju, gah menayang belang rimau dan menjulang Jalur Gemilang.

Selamat maju jaya buat semua atlit yang akan bertanding di Sukan Olimpik Paris 2024!

Moga kejayaan milik kita semua!



* Hafiz Ariffin ialah Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia.

** Artikel ini adalah daripada pandangan peribadi berdasarkan bidang kerjaya penulis, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.