Beliau ialah pemenang pingat emas Olimpik tertua di dunia dan atlet wanita Hungary paling banyak meraih pingat Olimpik dengan koleksi 10 pingat, termasuk lima emas.
Keleti, yang dimasukkan ke hospital minggu lepas akibat radang paru-paru, meninggal dunia beberapa hari sebelum ulang tahunnya yang ke-104.
Dilahirkan pada 9 Januari 1921 di Budapest, Keleti menghadapi cabaran besar sebagai seorang Yahudi semasa Perang Dunia Kedua, terselamat dengan menggunakan identiti palsu di kawasan luar bandar Hungary, sementara ramai ahli keluarganya terkorban di kem tahanan. Di sebalik kesukaran ini, ketabahannya tidak pernah goyah.
Perjalanan Olimpik Keleti bermula pada 1952 di Sukan Helsinki, yang mana pada usia 31 tahun, beliau memecahkan stereotaip umur dalam sukan yang didominasi oleh atlet muda. Beliau memenangi emas dalam latihan lantai dan menambah dua gangsa dan satu perak.
Pencapaian terbesar Keleti adalah di Sukan Olimpik Melbourne 1956, di mana beliau mendominasi acara gimnastik, memperoleh empat pingat emas dan dua perak. Beliau kekal sebagai gimnas tertua yang pernah memenangi emas Olimpik.
Selain pencapaiannya sebagai atlet, Keleti memainkan peranan penting dalam membentuk sukan gimnastik di peringkat global. Selepas Sukan Melbourne, beliau memilih untuk tidak kembali ke Hungary dan sebaliknya menetap di Israel, di mana beliau menjadi tokoh penting dalam membangunkan sukan gimnastik sebagai jurulatih dan pendidik sebelum bersara pada usia 75 tahun.
Setiausaha Negara bagi Sukan Hungary Adam Schmidt menyifatkan Keleti dalam temu bual dengan Xinhua sempena ulang tahunnya yang ke-103 pada 2024 sebagai "khazanah negara" dan "contoh untuk diikuti."
-- BERNAMA