SEBAGAI pembaca dan pengagum penulis muda, saya sentiasa terpesona melihat pembaharuan yang direntas dalam karya sastera.

Dalam banyak keadaan - sebagai pembaca, saya menikmati karya anak muda. Naratif mereka sangat merdeka dan menikmati kebebasan mencari naratif baharu.

Mereka berusaha untuk keluar daripada bungkusan gaya lama. Malah, wujud persaingan untuk membina identiti karya sebagai generasi milenium.

Sekiranya anda bertanya: buku apakah yang wajar dibaca - jawapan saya jelas dan tidak berubah.

Roslan Jomel disifatkan penganut realisme magis.

Baca novel Wan Nor Azriq. Baca novel Ruhaini Matdarin. Baca puisi Muhammad Lutfi Ishak.

Juga jangan lupa - kalau anda penggila cerita pendek - Roslan Djomel adalah 'raja baru' dalam cerpen kontemporari Malaysia.

Cari dan baca antologi Selamat Datang ke Malaywood (2012), Serangga di Dalam Kepala (2013), Di Dalam Mulutnya Ada Kota (2014), dan Roden yang Cenderung Terjun Dari Atas Bangunan (2017).

Antara hasil kerja Rosnal Jomel.

Empat antologi cerpen terbaik Roslan diterbitkan ITBM.

Selamat Datang ke Malaywood menerima Hadiah Sastera Perdana (HSPM) 2012/2013 kategori Antologi Cerpen Dewasa. Manakala Roden yang Cenderung Terjun Dari Atas Bangunan dipilih bagi kategori sama untuk HSPM 2017/18.

Roslan memang mengisi katalis cerpenis terbaik Malaysia untuk 10 tahun mutakhir ini. Dia penganut realisme magis - kata orang.

Cuma sebagai pembaca - saya menikmati karya Roslan sebagai karya seorang tukang cerita yang mempunyai ketelitian dalam memilih bahan narasinya.

Bonusnya pula - Roslan sangat mahir dan bijak bercerita. Roslan 'orang gelisah' yang meneroka banyak ruang yang tersisih dalam membina kekuatan cerpennya.

Karya Roslan Jomel berjudul 'Selamat Datang Malaywood'.

Cuma dalam artikel ini, saya memilih sisi lain mengenai Roslan. Saya tidak mungkin bercerita sudut personal mengenai anak Sarawak yang kini menjadi pelumba hidup di Kuala Lumpur.

Kami hanya bertemu dan berbual ringkas dua kali. Kali pertama di KL Sentral ketika sesi Borak Buku tahun 2013. Kemudian sekali lagi di Dialog Orang Muda di Rumah Pena pada 2016.

Sebagai pembaca, saya mengikuti Roslan melalui karyanya. Saya anggap - keupayaan penulis muda ini telah meletakkan kembali suara kesasterawanan anak Sarawak dalam indek utama sastera Malaysia.

*Biodata Ringkas

Roslan lahir di Kuching. Bukan produk dari mana-mana universiti. Kini bermastatutin di Kuala Lumpur. Karektornya 'cool' tapi sangat 'old school'.

Kata Roslan, dirinya peminat sastera, filem, buku dan foto jalanan.

"Saya belajar menulis secara 'autodidact' dan mula menghasilkan karya dengan berpandukan aliran 'stream of consciousness'," jawabnya melalui Whatsapp.

Sesuai dengan tema perbualan berkaitan isu semasa, Roslan memberikan respons terhadap kesan dan akibat pandemik Covid-19.

"Bagi manusia yang beriman, Covid-19 membuktikan betapa pencapaian ilmu perubatan kita masih terbatas," katanya.

Manusia, kata Roslan, sehebat mana pun tidak sepenuhnya diberikan pengetahuan dan kecerdasan.

'Serangga Dalam Kepala' oleh Roslan Jomel.

"Agamawan, usahawan atau konglomerat akan mati pada bila-bila masa kalau tiba ajalnya, walaupun ketika memegang tasbih," jelasnya.

Mengenai krisis Covid-19 dan impak terhadap pemikiran kesasterawan, Roslan mengganggap:

"Pandemik Covid-19 telah menyuntik pelbagai spekulasi dan kemungkinan bersifat propaganda untuk dijadikan idea menulis karya kreatif.

"Sasterawan tidak mudah percaya dengan kata-kata manis yang dilaporkan media massa," katanya.

Pandemik Covid-19 ini juga merangsang orang kebanyakan agar cakna pada kebersihan diri dan ancaman kuman akibat tabiat pemakanan.

Roslan menegur, dengan saran: "Ahli politik yang tidak memiliki kepakaran dalam bidang perubatan sepatutnya jangan mencampuri urusan mustahak yang melibatkan nyawa warga."

Hari ini, katanya, manusia mulai sedar bahawa mereka hanyalah hamba kepada Tuhan. Nyawa dan muka bumi ini bukan milik mereka.

Apa pun, secara sinis, apabila sudah kenyang dan mendapat segenggam wang, manusia akan kembali kepada fitrah semula jadi. Tiada yang ganjil tentang karakter manusia.

Satu lagi karya Roslan Jomel.

Roslan bertegas dengan pendirian, sekiranya vaksin pembasmi virus Covid-19 belum berjaya dihasilkan dan manusia tetap ingkar kepada perintah berkurung, keadaan akan kekal memburuk.

"Tekanan ekonomi dan psikologi pasti menjadi musibah lanjutan paling menggerikan," kata Roslan.

Pada detiknya nanti, dunia akan mengalami krisis makanan dan hanya tinggal habuk dalam poket seluar.

"Manusia akan bertindak abnormal, berubah watak dan tidak lagi mempedulikan agama.

"Tidak mustahil rakaman-rakaman distopia dari filem sains fiksyen akan berlaku. Barangkali dunia yang kita huni kini sudah mendekati garis penamatnya," kata Roslan.

Tukang cerita 'Made In Sarawak' ini akan muncul dengan kumpulan cerpen terbaru terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

"Insya-Allah. Ada perkembangan positif mengenai manuskrip terbaharu saya," katanya.

Mengenai proses kreatif, Roslan percaya, setiap penulis harus memiliki kesedaran kognisi agar terus mengarang dengan lebih baik, cerdas dan membina naratif baharu dalam kesusasteraan negara.

"Sastera kita masih ada masa depannya selagi tidak dimusnahkan pihak yang berkepentingan.

"Pengarang impresif seperti SM Zakir dan Wan Nor Azriq adalah contoh kontemporari dan pembaharu langgam kesusasteraan serta ada keseriusan," kata Roslan.

Selamat maju jaya untuk Roslan Jomel. Kita wajar membaca buku-bukunya. Dia memang tukang cerita yang hebat!



* Zainal Rashid Ahmad merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.