SENARIO gerakan sivil wanita kalau dirujuk melalui sejarah memang menarik, terutama senario wanita dalam gerakan massa.
Malah, dunia lupa peranan wanita mengubah sejarah moden.
Dunia hanya melihat demonstrasi wanita sebagai bahan seks dalam kultur hippie; sebagai pejuang lesbian yang berarak tanpa bra di bawah bendera pelangi.
Atau, imej mabuk dengan tubuh bertatu dan digomol lelaki dalam Festival Bir bulan Oktober di Munich, Bavaria.
Hakikatnya, wanita punya sejarah luar biasa. Gerakan massa kaum ibu bermula pada 28 Februari 1908.
Lebih 15,000 wanita berhimpun di New York dan menuntut kenaikan upah, waktu kerja lebih singkat dan hak mengundi.
Perhimpunan itu bukan demonstrasi biasa. Kuasa wanita apabila bersatu, mampu menakluk jalan raya di New York dengan semangat perarakan keasasian.
Titik gerakan "jaz New York" pada bulan Valentine itu turut mencatat sejarah; bermulanya kalendar pertama sambutan Hari Wanita.
Sejarah gerakan wanita tidak pernah bernoktah. Malah, sedekad selepas gerakan "jaz New York", dunia sivil sekali lagi diaspirasikan gerakan asasi wanita.
Kali ini di bandar Bolshevik pada 8 Mac 1917. Apabila kelaparan melanda Rusia dan demi sebuku roti untuk keluarga, wanita keluar ke jalan raya dan berdemonstrasi lagi.
Ibu-ibu di Russia yang marah kerana Csar Romanov membiarkan rakyatnya kelaparan, memulakan langkah pertama ke arah Revolusi Bolshevik yang bersejarah.
Wanita sekali lagi mengendera gerakan sivil dan mengubah politik dunia moden. Seterusnya, memangkin revolusi buruh hingga runtuhnya sistem monarki Rusia.
Perarakan bulan Mac kekal dikenang sebagai simbol keperkasaan dan pencerahan baharu kepada dunia.
Seterusnya tarikh 8 Mac dijadikan tarikh sambutan Hari Wanita Sedunia yang diraikan hingga kini.
Aspirasi New York 1908 dan Revolusi Bolshevik 1917 tidak berhenti setakat wujudnya blok Barat pro kapitalis, mahu pun blok Timur pro komunis.
Empat dekad kemudian, pada 9 Ogos 1956 di Afrika Selatan, wanita menggeger lagi. Hari yang dikenang sebagai suara diam "blues dari Pretoria".
Wanita kulit hitam berdemonstrasi secara "diam 30 minit" bagi menuntut keadilan menentang dasar aparteid.
"Blues dari Pretoria" ialah perhimpunan protes yang membantah perundangan "pas bergerak" yang rasis terhadap penduduk kulit hitam.
Protes 20,000 wanita yang turun berhimpun sambil mengendong bayi di depan bangunan Union Buildings satu titik penting.
Bermula momen sejarah hak asasi di benua Afrika. Secara historik, perhimpunan itu juga memulakan sejarah gerakan petisyen yang pertama di rantau Afro-Asia.
Selain protes diam, "blues dari Pretoria" berjaya mendapatkan 100 ribu tandatangan. Satu sejarah dokumentasi penolakan terhadap perintah "pas bergerak" rejim aparteid.
Tarikh 9 Ogos dan protes Pretoria antara momen penting menjatuhkan rejim aparteid. Pada 1994, aparteid terhapus di muka dunia setelah bertapak sejak 1948.
Sayangnya, sejarah Afrika Selatan hanya mencatat nama Nelson Mandela, Thabo Mbeki, Steve Biko, Walter Sisulu, Ahmed Kathrada dan Desmond Tutu.
Namun, sejarah tidak berdusta sepenuhnya. Perjuangan wanita kulit hitam Pretoria kekal sebagai naratif penting Afrika Selatan.
Tarikh 9 Ogos diraikan sebagai Hari Wanita di negara hujung benua Afrika itu. Keraian yang disambut dengan nyanyian "Wathint’Abafazi Wathint’imbokodo!: Anda menyentuh wanita, ertinya memukul batu!
Satu peringatan: sila hormati kekuatan wanita - batu tidak pecah oleh tumbukan tangan.
Dunia sastera juga mengingati senarai panjang sasterawan wanita dari seluruh dunia yang menerima Hadiah Noble Kesusasteraan.
Olga Nawoja Tokarczuk penerima terkini Anugerah Noble 2018.
Tokarczuk ialah penulis, aktivis dan intelektual Poland yang dianggap paling kritis mindanya. Malah, penulis paling berjaya meraih jualan komersial karya-karyanya.
Doris May Lessing (1919-2013) adalah novelis Zimbabwe yang menerima Anugerah Noble 2007.
Kehidupan Doris unik. Wanita yang berkembara sepanjang hayat. Itu kekuatan keperibadian dan kepengarangannya.
Doris dilahirkan di Kermansyah, Iran sebelum mengikuti keluarganya berpindah ke Rhodesia pada 1925.
Doris berhijrah lagi ke London pada 1949. Novelis ini dikenang kerana kehebatan novel sekuelnya.
The Grass Is Singing (1950), Children of Violence (1952–1969), The Golden Notebook (1962) dan The Good Terrorist (1985).
Paling dikenang tentunya lima novel sekuel Canopus in Argos: Archives (1979–1983).
Siri Bukan Wanita Biasa bahagian dua, memilih novelis tempatan Hafizah Iszahanid.
Penulis prolifik lulusan Seni Gunaan, Universiti Malaysia Sarawak dan anak Chemor, Perak.
Hafizah secara profesional adalah wartawan. Seorang ibu dan pecinta seminar. Ketagihan pada dunia diskusi menyeret hidupnya tanpa jemu ke pelbagai forum dan sesi ilmiah.
Langkah kecilnya bermula sebagai peserta Minggu Penulis Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1994.
Selepas 25 tahun menulis, rak karyanya menyumbang senarai katalog yang panjang. Antaranya, novel Noktah di Hujung Rindu (2005), Kala Hujan Menitis (2007), Andainya Kukembali (2009).
Tanpa jemu dan tidak mengalah pada kekangan waktu - wartawan, isteri dan ibu ini terus menulis.
Melahirkan novel Sehiris Bulan (2011), Deru Angin (2012), Lelaki Januari (2014), Nan Yang (2014) dan antologi cerpen Ayam Patah Kepak (2013).
Saya mewancara Hafizah melalui WhatsApp. Sengaja menggugah dengan soalan prejudis yang sangat klise mengenai wanita.
Malah, menyerangnya dengan sindiran feminisme. Seterusnya terheret melihat cabaran kesusasteraan yang makin mengerdil pengaruhnya.
Saya juga bertanya mengenai suara wanita dalam naratif politik Malaysia. Serta pandangan mengenai "dunia aneh" normal baharu.
Apa kata Hafizah Iszahanid
SOALAN: Apakah anda berfikir sebagai wanita setiap kali menulis. Apakah anda percaya wujud gender dan feminisme. Atau ia hanya mitos patriarki?
HAFIZAH: Saya berfikir sebagai manusia yang ada perasaan, pengalaman dan pengetahuan.
Itu yang menggerakkan sebuah karya bukan jantina. Namun saya pasti, cara kita memandang sesuatu isu itu berbeza disebabkan perasaan, pengalaman dan pengetahuan itu juga.
Hal ini bukan terjadi sebab jantina tapi sebab kita manusia dan setiap manusia itu kan berbeza-beza.
Persoalan jantina atau label penulis wanita ini saya percaya ialah mitos patriarki yang anehnya disokong oleh masyarakat umum dan juga sarjana.
Istilah ‘wanita’ dilihat ada nilai komersial dan tarikan dalam media massa. Contoh paling jelas apabila Datuk Dr Siti Zurinah Hassan dinobat sebagai Sasterawan Negara (SN). Dia dirujuk sebagai SN wanita pertama.
Selepas itu Dr Siti Zainon Ismail sebagai SN wanita kedua. Ia bukanlah salah, tetapi adakah kita merujuk Keris Mas sebagai SN lelaki pertama?
Mengapa kalau wanita yang berada buat pertama kalinya di satu-satu tempat maka kita suka mengaitkan dengan gendernya?
Misalnya pendaki wanita pertama negara, perdana menteri wanita pertama negara. Ia memang menjelaskan dunia ini adalah milik patriarki dan kita semua mengiktirafnya tanpa kita sedari.
Hal ini bukanlah serius pada saya. Itu hanya isu kecil sebab akhirnya, yang memutuskan hakikat sebenar sebagai pengarang adalah karya dan bukan gender.
Kejujuran itu sakit
SOALAN: Anda melihat cabaran besar dalam dunia kesusasteraan. Jumlah penerbitan yang melimpah tapi pasaran yang mengecil. Apakah wujud jurang minat dan penghargaan masyarakat terhadap sastera?
HAFIZAH: Ya. Kesusasteraan hari ini dalam bentuk naskhah terutama bercetak adalah cabaran yang besar terutama di negara Asia.
Di Barat, misalnya di United Kingdom (UK) atau Amerika Syarikat (AS), penerbitan bercetak masih bertahan. Saya ingat pernah ditanya kawan yang bermastautin di UK mengenai di mana boleh membeli novel sastera di Kuala Lumpur?
Sebab katanya, setiap kali masuk ke kedai buku, dia bertemu banyak novel pop. Saya memberitahunya boleh dapat di sekian dan sekian kedai.
(Akhirnya, saya hadiahkan saja beberapa naskhah buku sastera yang baik untuk dibaca).
Tapi saya sedikit terpukul dengan kata-katanya, orang Malaysia memang kurang membacakah?
Soalan itu jujur, tapi kejujuran itu sakit. Saya tidak ada masalah dengan karya pop sebab ada banyak karya pop yang baik.
Sebenarnya saya pun tidak suka mengkelaskan karya itu pada sastera atau pop. Pada saya, kalau ia karya baik dengan tulisan yang baik iaitu bahasa, cerita dan plot, itu adalah naskhah yang bagus.
Cuma, saya tidak lagi remaja. Tentu tidak lagi minat membaca karya dengan tema cinta yang klise. Hal ini juga terjadi pada kebanyakan pembaca tegar dan matang. Mereka mencari tema yang lain.
Jadi, tema yang lain dari yang lain kebetulannya boleh didapati dalam naskhah sastera dan beberapa novel penerbitan pop.
Saya fikir, kalau kita dapat pecahkan tanggapan segmentasi karya pop dan karya sastera, pasaran buku bahasa Melayu tetap ada. Apa yang perlu dibuang adalah tanggapan karya sastera itu berat.
Jangan cepat buat keputusan begitu kalau belum pernah membacanya. Ada kala karya sastera yang baik ‘bersembunyi’ di bawah label penerbitan pop.
Disebabkab pembaca pun tidak kenal karya sastera, mereka agihkan segmentasi itu pada nama penerbitan saja.
Asal saja diterbitkan DBP dan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), dikira itu sastera. Kalau Studio Anai Anai, itu indie atau pop.
Jadi mungkin kita bermula dari sini, membuang pembahagian genre itu.
Dunia saya dilingkari politik
SOALAN: Apakah anda percaya penulis wanita sangat meminimumkan kritikan politik?
Atau itu prasangka sahaja. Apakah anda fikir, politik ialah sumber utama yang perlu diberikan perhatian dalam karya?
HAFIZAH: Ada satu tanggapan lama yang saya pernah baca ketika masih bersekolah. Ditulis dalam majalah sastera: penulis wanita selesa dalam zon sendiri dan hanya bercakap hal kewanitaan dan keluarga.
Mungkin suasana zamannya begitu. Tidak ramai penulis yang ada suara untuk mengkritik (dalam konteks penulis wanita).
Keadaan sastera nasional juga berbeza apabila tercetusnya reformasi 1998. Cara masyarakat sastera berfikir turut berubah.
Ramai penulis yang bangkit dengan karya politik yang berani. Kita boleh baca dalam Shit, Naratif Ogonshoto dan Kawin Kawin.
Tapi saya tidak jumpa karya penulis wanita (maaf mungkin ada tapi saya tidak jumpa). Saya tidak pasti, adakah mereka menyimpan ketidakpuashatian politik (jika ada). Atau mungkin hanya dalam hati tetapi bukan dalam karya.
Untuk saya, memang politik itu selalu menjadi sumber yang menarik-narik untuk menulis.Mungkin sebab saya berada dalam persekitaran kerjaya sebagai wartawan.
Mahu atau tidak, hal itu saja yang masuk ke telinga dari meja makan di rumah hinggalah di meja kerja. Malah, di meja kafe dan di pejabat hanya hal politik yang dibualkan sesama rakan rapat.
Susah untuk saya lari dari politik. Cerita dan idea mereka bercampur-baur dan membantu saya membina perspektif sendiri yang kemudiannya ditulis sebagai karya sastera.
Saya tidak pasti, apakah politik penting atau tidak untuk sastera. Tapi kalau membaca Sulalatus Salatin, selain sebagai naskhah sastera sejarah, itu juga naskhah politik.
Sebab zaman feudalisme totok, yang memegang politik adalah feudalisme atau neo-feudalisme. Jadi, bagaimana? Adakah anda fikir, politik tidak penting sebagai teras bahan sastera?
Pemikiran pengarang sentiasa berubah
SOALAN: Kita bakal melalui cabaran normal baharu. Dalam sastera apakah akan ada impak dalam konteks pengisian bahan dan pemikiran?
HAFIZAH: Sastera itu kekal ada, tapi dalam bentuk baharu. Satunya, ia akan berubah pada dimensi digital yang mana sastera kita masih terkemut-kemut hendak berubah.
DBP baru saja memperkenalkan naskhah Dewan Sastera edisi atas talian. Sedangkan FIXI sudah lama menutup portal cerpen Cukaria.com.
Di E-Sentral tiada naskhah sastera yang boleh dimuat turun. Tapi, kalau kita memecahkan segmentasi pasaran genre, banyak naskhah novel bahasa Melayu yang boleh dimuat turun.
Pengarang terutamanya sasterawan perlu berubah untuk tidak lagi bergantung kepada DBP sepenuhnya. Pengantungan akan menyebabkan nasib mereka terumbang-ambing.
Kita lihat bagaimana nasib penerbitan karya sastera selepas ITBM tidak lagi rancak menerbitkan buku.
Ada ramai penerbit karya pop di luar sana lebih berjaya dalam pengurusan karya mereka berbanding DBP.
Mungkin atas nama normal baharu penerbit bebas dan pengarang sastera boleh bersatu?
Mungkin ada tolak ansur dan persefahaman yang boleh dicapai? Atau mungkin ada yang selesa terbitkan sendiri dan jual sendiri? Terpulang.
Soal pemikiran juga, setiap pengarang memang perlu berubah tidak kira wujud normal baharu atau tidak. Tidak mungkin sebagai pengarang kita mahu tersangkut pada idea atau tahap pemikiran yang sama.
Tentu kita mahu berubah ke arah lebih baik. Malah, kita juga berubah sebagai pembaca. Sepuluh tahun lalu, kita membaca Naratif Ogonshoto sebagai karya politik, tetapi mungkin hari ini kita membacanya dengan perspektif baharu.
Novel ini mungkin catatan pengarang yang melihat negaranya ketika berada di luar negara. Apakah pengarangnya akan tampil dengan karya yang sama kalau berada di dalam negara?
Nota
Hafizah Izfahanid adalah "ratu diskusi". Kopi akan lebih pahit dan menendang adrenalin kalau duduk berbual di kafe mendengar kritikan, aspirasi dan minda kritisnya terhadap sastera.
Percayalah, kopi akan benar-benar pahit di depan novelis ini.
Hahaha....
________________________________________________________________________________
Zainal Rashid Ahmad merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain.
Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
Zainal Rashid Ahmad
Mon May 11 2020
Hafizah secara profesional adalah wartawan, seorang ibu dan pecinta seminar. - Gambar Hafizah Iszahanid
[TERKINI] Pesawat bawa 67 penumpang terhempas di Kazakhstan, 12 terselamat
Sebuah pesawat Azerbaijan Airlines membawa 67 penumpang terhempas di Kazakhstan
Pesawat Azerbaijan Airlines terhempas di Kazakhstan
Pasukan penyiasat berkata mereka sedang meneliti punca kejadian dan tidak menolak sebarang kemungkinan, termasuk masalah teknikal.
Yeoh Kay Bin diumum ketua jurulatih baharu Team LZJ
Team LZJ menyifatkan Kay Bin sebagai jurulatih yang memiliki pengalaman luas di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Nahas ngeri Ayer Keroh: 'Tulang paha Uwais pecah, perlu dibedah petang ini juga' - Exco
Pembedahan terhadap Muhammad Uwais Al-Qarni, 7, yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) akan dijalankan petang ini.
Peluru berpandu dari Yaman berjaya dipintas tentera Zionis
Tentera Israel mendakwa berjaya memintas sebuah peluru berpandu yang dilepaskan dari Yaman pada awal Rabu.
Warga Gaza berharap kerakusan Zionis berakhir
Di sebalik konflik yang berterusan, penduduk Gaza yang beragama Kristian tidak ketinggalan menyertai upacara keagamaan sempena sambutan perayaan Krismas.
Warga Palestin tidak boleh putus harapan untuk terus hidup
Bercakap semasa sambutan perayaan Krismas, Datuk Bandar Betlehem, Anton Salman berkata, tanpa harapan, sudah pasti sukar untuk meneruskan kehidupan di sebalik kezaliman yang didepani mereka.
Nahas ngeri Ayer Keroh: Polis rakam keterangan pemandu lori tayar tercabut
Keterangan pemandu berusia 31 tahun itu diambil bagi membantu siasatan kemungkinan wujud kecuaian yang mengakibatkan tayar hadapan lori terbabit tercabut.
Nahas Ayer Keroh: Tujuh masih dirawat, dua ditempatkan di ICU
Tujuh mangsa kemalangan ngeri melibatkan lima kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran kawasan rehat dan rawat Ayer Keroh masih dirawat di Hospital Melaka dengan dua daripadanya ditempatkan di unit rawatab rapi (ICU).
Nahas Ayer Keroh: Polis rakam keterangan pemandu lori tayar tercabut
Polis telah merakam keterangan pemandu lori yang terlibat dengan nahas ngeri mengorbankan tujuh individu di kilometer 204 Lebuhraya PLUS arah utara, Melaka, pada Selasa.
Kesahihan darurat: Rayuan Badan Peguam rujuk isu Perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan ditolak
Mahkamah Rayuan menolak rayuan Badan Peguam Malaysia untuk merujuk isu perlembagaan berhubung kesahihan pengisytiharan darurat pada 2020 kepada Mahkamah Persekutuan.
Proton jual 13,362 kereta pada Okt 2021, peningkatan 1.6% berbanding 2020
Pencapaian itu melangkaui prestasi jumlah jualan industri (TIV) bagi pasaran automotif tempatan, yang telah menurun sebanyak 4.7 peratus.
Tokyo 2020: Cabaran Azizulhasni dan Shah Firdaus berakhir dalam acara pecut
Bagaimanapun kayuhan emas sebenar 'The Pocket Rocketman" akan dinanti dalam acara kegemarannya iaitu keirin yang akan memulakan saingan pada Sabtu ini.
Hala tuju pasca SPM: 'Ikut minat, jangan ikut rakan'
Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 disaran mengenal pasti minat dan kemampuan diri sebelum membuat pilihan pendidikan di peringkat tinggi.
Pelaksanaan mandat, adaptasi pendigitalan sumbang prestasi cemerlang SME Bank tahun 2020
Pelaksanaan mandat dan adaptasi pendigitalan sumbang prestasi cemerlang SME Bank tahun 2020.
TNB jangka raih pendapatan lebih baik tahun ini
Tenaga Nasional Bhd (TNB) menjangka mampu memperoleh pendapatan yang lebih baik pada tahun ini berbanding tahun lepas walaupun negara masih berdepan dengan situasi penularan pandemik COVID-19.
Azhar Harun sedih ada rakan putuskan hubungan bila dilantik Speaker Dewan Rakyat
Azhar memberitahu teman-temannya berubah sikap dan menjadi "seolah-olah mereka bukan kawan" apabila beliau dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Calon duduki SPM 2020 cipta sejarah tersendiri
Seramai 401,105 calon sekolah yang menduduki SPM 2020 cipta sejarah mengikuti sesi kelas SPM tahunan terpanjang iaitu hampir 14 bulan.
Lebih 6 juta ujian saringan RT-PCR, RTK Antigen dilaksanakan - Dr Adham
Dr Adham Baba berkata daripada jumlah itu, sebanyak 3,332,554 merupakan ujian saringan RT-PCR yang dijalankan pada 2020.
2020 tahun paling buruk buat industri penerbangan, trafik global susut 75.6 peratus - IATA
Kapasiti tempat duduk setiap kilometer (ASK) turun 68.1 peratus dan faktor muatan jatuh 19.2 mata peratusan menjadi 62.8 peratus.