PADA lewat dekad 80-an, sebagai remaja nanar yang baru kenal sastera, saya menyampah betul dengan istilah feminisme.

Idealisme sempit yang saya anggap satu rekakasa jahat. Ciptaan gerakan liberal global yang berhasrat mengubah tamadun dunia dengan alasan "demi keadilan terhadap wanita".

Saya anggap, feminisme satu sikap prejudis dan ada kalanya bernada cuba memperlekehkan kewujudan penulis wanita sebagai pemikir tanpa gender.

Saya pengagum karya penulis wanita. Malah, saya anggap: kalau mahu menemukan fikiran yang rasional - bacalah karya penulis wanita. Kalau mencari analisis yang kritis - bacalah karya penulis lelaki.

Itu bukan silap pekelasan berbau gender. Tetapi pengalaman membaca mengajar saja menghormati tahap rasional dalam pemikiran penulis wanita.

Saya dipengaruhi cara melihat karya seni melalui falsafah muzik Carlos Santana - guitaris Santana.

Menulis ertinya membawakan cahaya ke dalam kegelapan. Kata-kata adalah lampu. Karya bersifat cahaya yang mencerahkan kegelapan fikiran.

Paling menakjubkan - ketika membaca "To Kill a Mockingbird" (TKaM) karya Harper Lee (1926-2016), saya fikir novelis ini lelaki.

TKaM novel terbitan 1960 sangat humanis dan karya terbaik mengenai naratif sosial. Menikmati teksnya seperti mengharung proses penyucian sikap.

Kita jadi prihatin pada kejiranan, intim pada watak-watak sivil yang terpinggir serta menghargai kanak-kanak. Malah, kita lebih memahami cara hidup yang luhur bersama lingkungan sosial.

Tahun 1999, saya melompat terkejut ketika membaca novel "Saman" karya Ayu Utami. Muka jadi kebas apabila membaca isi novel yang sangat daring dan sensual.

"Saman" terjual lebih 60,000 salinan dan menerima anugerah Prince Claus Award 2000 dari Prince Claus Fund di Den Haag, Belanda.

Justina Ayu Utami terus menyendatkan fikiran melalui novel "Larung" pada 2001. Novelis Bogor, Indonesia ini mengajar saya: apa itu impak keberanian terhadap makna pembaharuan.

Ketika remaja pula, gadis pertama saya jatuh cinta dalam novel ialah Mazni - watak cantik manis dalam novel "Badai Semalam" karya Khadijah Hashim.

Novel pertama Khadijah diterbitkan pada 1968 dan Mazni menjadi cinta hati pertama pada 1983.



Mencari jawapan penulis wanita

Melalui Whatapps saya menyoal penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara 2018, Dr Mawar Safie.

Mawar terkenal dengan empat kumpulan cerpen Zel (1998), Montaj II (2002), Mengalir Dari Ruang Buncah (2015) dan Masitah (2008).

Selain aktif menulis pelbagai buku perkongsian penyumberan dan pengembangan idea kreatif.

Soalan saya jelas; mencari definisi apakah wanita menulis kerana dirinya wanita. Atau, menulis kerana dirinya penulis.

Serta menyoal hal-hal berkaitan isu semasa mengenai cabaran industri perbukuan dan tabiat membaca di negara ini. Selain hal-hal berkaitan kompleksiti isu-isu sosial masa kini.

Apa kata Mawar Safie

Menjawab soalan saya mengenai persoalan gender, Mawar kelihatan rimas dengan pertanyaan klise dan tidak berkesudahan ini.

Mawar: Soalan begini selalu dikemukakan apabila berhadapan dengan penulis wanita. Mengapa ya?

Menjawab soalan, lazimnya begitulah.

Tapi tidak pula bermakna saya harus dan sedang berfikir dalam kerangka feminis sewaktu menulis. Saya menggubah seadanya menurut persoalan yang mahu saya ajukan, tidak jarang ia datang dari sudut pandang lelaki juga.

Protagonis saya ada yang lelaki. Ia satu penggeledahan dan penerokaan kognitif dan emotif juga. Itu kerja seni yang eksperimental. Ya, saya tidak mempercayai mitos berkenaan sepenuhnya.



Mengenai isu lebih prominan, terutama krisis pasaran perbukuan yang makin mengecil dan tidak setara dengan limpahan karya, Mawar menjelaskan masalah mengenai pendidikan sastera yang makin terpencil di sekolah.

Mawar: Saya sering melihat persoalan ini yang berbalik kepada penataan pendidikan. Kita tidak berlaku adil terhadap kesusasteraan bermula dalam pendidikan dasar.

Sastera di sekolah sering dilihat hanya sebagai pendidikan teks. Sedangkan kesusasteraan itu menuntun kita banyak arah menjadi manusia yang luhur. Sastera bercakap tentang adab.

Keindahan dalam sastera membawakan keseimbangan dalam hidup kita. Jadi, menjawab pertanyaan ini, apa yang boleh diharapkan minat dan penghargaan dari masyarakat kita terhadap kesusasteraan, jika begitu nasibnya?

Sering juga saya mengharapkan adanya sosok pemimpin politik khasnya yang ada kecintaan terhadap sastera. Kayu sakti di tangan, mereka boleh menyulap semua orang untuk cintakan sastera!

Dalam bayangan ini saya selalu teringatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang luas bacaan sasteranya dan sosok sebegini adalah kebitaraan.

Saya juga bercakap tentang pedagogi sastera di sekolah.

Adakah ia memadai untuk menyediakan “peminat sastera”?

Namun saya masih ada keyakinan. Minat dan penghargaan terhadap sastera tetap ada.

Lebih-lebih lagi jika ada upaya yang lebih kreatif misalnya sastera melalui jalan alih wahana dan rentas media.

Sastera yang divisualkan mungkin dapat menarik khalayak lebih besar khasnya dalam kalangan generasi terkini yang terlibat secara langsung dengan perkembangan 4IR dan Internet of Things.



Menyentuh persoalan suara politik wanita dalam karya sastera, Mawar menjawab prasangka saya mengenai peranan minimum penulis wanita.

Mawar: Sekali lagi saya tidak percaya sepenuhnya ada beda jurus pandang yang melibatkan gender ketika memanfaatkan politik dalam penulisan.

Saya percaya penulis kita, tidak kira wanita atau lelaki, banyak menyaring dan menanggap capahan latar sumber termasuk pergeseran politik dalam karya, dan serba serbi sumber lainnya.

Setiap satunya, mendapat perhatian penulis.

Ketika menulis, termasuk perihal siasah, sudah tentu ia digubah dari aneka lensa. Bukan saja langsung tentang kepimpinan, kepartian atau perjuangan fisik. Kita bercakap tentang
kepelbagaian cara penulis mengirim erti politik.

Menulis ketidakadilan yang berlaku dalam ruang domestik juga, antara akibat daripada pertelingkahan politik.

Cerpen terbaharu saya, “Sulapan Tujuh Pencinta” (BH, 26 April 2020) antaranya tentang wabah tapi turut menyentuh perihal pemimpin yang merasakan dirinya Tuhan. Pemimpin yang zalim. Ada kritikan terhadap kepimpinan sehingga rakyat cuba mendapatkan ruang penyendirian mereka.

Saya turut menyoal mengenai fenemona normal baharu. Terma dalam senario wabak Covid-19 dan kesannya pada pengisian sastera.

Mawar: Penulis selalu dikatakan, mereka yang kreatif. Lajur pemikirannya berseni. Mereka punya daya bayangan yang sukar ditebak.

Mereka juga sering terkesan cepat dari isyarat yang dihantar milieu. Saya percaya pengisian bahan dan pemikiran mereka turut tersilau dengan kisah wabah dan kelaziman baru yang ditanyakan ini.

Sama ada penulis menyalin apa yang dilihatnya atau nanti dibawakan tafsiran lain tentangnya. Atau mungkin ada suggestive voice yang sama-sama dapat kita jadikan pedoman dalam menjalani nilai-nilai baru.

Kita tentu ternanti-nanti apa yang bakal disenggol para penulis ini. Ia suatu yang sangat mengujakan.

Sisi kejiwaan saya fikir sangat perlu dipertimbangkan para penulis dalam melihat kelaziman baharu ini. Batin kita yang perlu diselidiki dengan cermat sebagai persediaan untuk berdepan sekarang dan nanti.

Perubahan dalam menyantuni sahabat, tetangga; bagaimana kita mahu jadi saksama dalam beragama, atau tatacara kita berurus niaga yang tidak sepenuhnya menurut hukum matematika sahaja.

Kelaziman baharu ini ternyata mengheret kita ke ruang introspeksi yang dalam. Ini semua yang harus digenapi penulis dengan kebijakan pena mereka.

Jadi besar sekali tanggungjawabnya, ya?


* Zainal Rashid Ahmad merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.