KUALA LUMPUR: Satu klausa perlu diwujudkan untuk membenarkan Yang di-Pertuan Agong menentukan mana-mana Kerabat Diraja atau pewaris yang berminat menyertai politik secara sah.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk  Mahfuz Omar berpandangan persetujuan itu juga perlu dibuat melalui Majlis Raja-Raja.

Jelas beliau, ini bagi membolehkan teguran dibuat oleh masyarakat terhadap Kerabat Diraja yang terlibat dengan politik. 

Ia sekali gus mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadap orang awam yang mengkritik Kerabat Diraja, ujarnya lagi.

"Jadi saya ini adalah lebih elok sebab bila Keluarga Diraja menyertai poltik.

"Adinda kepada Almarhum Sultan Ahmad Shah pernah menjadi Ahli Parlimen Jerantut dan timbalan menteri. Adinda kepada Raja Perlis pernah menjadi Ahli Parlimen Arau, dan juga pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

"Jadi lebih mudah untuk kita bertegur dari sudut politik itu. Kalau ada orang nak mengkritik mereka, dia bukan mengkritik kerana dia waris diraja atau keluarga diraja, tetapi kita mengkritik dia kerana dia seorang ahli politik... timbalan menteri yang terdedah kepada kesilapan dan sebagainya," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Kerajaan hari ini telah membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 untuk bacaan kali kedua.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, melalui usul tersebut, pindaan dicadangkan agar Perkara 119A dapat ditambah dalam Perlembagaan Persekutuan.

Melalui pindaan tersebut, ia bagi mengecualikan pendaftaran pemilih automatik kepada Raja Pemerintah dan pasangan, Yang di-Pertua negeri dan pasangan, bakal raja, waris ganti dan waris lain raja dan pasangan, dan mana-mana orang lain.

“Secara dasarnya, pengecualian pendaftaran pemilih secara automatik kepada Raja Pemerintah dan pasangan, Yang di-Pertua Negeri dan pasangan, bakal Raja, waris ganti dan waris lain Raja dan pasangan, dan mana-mana orang lain adalah perlu bagi memastikan terdapat proses semak dan imbang dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

“Perkara ini juga selaras dengan keistimewaan dan kewibawaan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan kedudukan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri seperti yang termaktub dalam peruntukan Perlembagaan atau Undang-Undang Tubuh Negeri,” katanya.