KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menambah sembilan lagi lokaliti bagi projek pelepasan nyamuk Aedes 'berWolbachia' melibatkan beberapa negeri di Semenanjung termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tahun ini.


Ringkasan AI
  • KKM akan menambah sembilan lokaliti lagi untuk projek pelepasan nyamuk Aedes 'berWolbachia' di beberapa negeri di Semenanjung, termasuk Kuala Lumpur.
  • Projek ini adalah usaha untuk memerangi kes denggi, dengan fokus di Kelantan, Pahang, Pulau Pinang, Melaka, Johor, dan Kuala Lumpur.
  • Dzulkefly menyebut bahawa kes denggi telah berkurang sebanyak 87.2% di salah satu lokasi projek, dan KKM telah memohon peruntukan dalam Bajet 2025 untuk melanjutkan projek ini. Beliau juga menyeru masyarakat untuk menyertai aktiviti 'Cari dan Musnah' serta 'One Hour Malaysia Clean Up' sebagai langkah pencegahan yang penting.


Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata inisiatif itu susulan kejayaan dan keberkesanan projek berkenaan yang mula dilaksanakan pada 2019 dalam usaha memerangi kes denggi.

"Kita akan menambah (lokaliti pelepasan nyamuk 'berWolbachia') fokus kita adalah di Kelantan, Pahang, Pulau Pinang, Melaka, Johor termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Saya akan memastikan tapak pembinaan juga akan menjadi antara fokus hotspot diberikan tumpuan.

"Sehingga kini sebanyak 35 lokaliti pelepasan telah dilaksanakan di seluruh negara dan selepas empat tahun pelaksanaan bilangan kes denggi menurun antara 45 hingga 100 peratus di 19 lokaliti pelepasan yang telah layak dinilai," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Kebangsaan sempena sambutan Hari Denggi Asean 2024 di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Desa Setia Wira hari ini.

Dzulkefly berkata projek pelepasan nyamuk Aedes 'BerWolbachia' di Kem Kementah Desa Setia Wira di sini turut menunjukkan kadar penurunan kes denggi sebanyak 87.2 peratus sejak bermula pada 2020.

Beliau memaklumkan pihak KKM juga telah memohon peruntukan dalam Bajet 2025 untuk pelaksanaan projek pelepasan nyamuk Aedes BerWolbachia itu.

Sementara itu, Dzulkefly berkata bagi tempoh Januari hingga 1 Jun 2024, sebanyak 64,629 kes denggi dilaporkan berbanding 48,723 kes bagi tempoh sama tahun lepas dengan peningkatan sebanyak 15,906 kes atau 32.6 peratus.

Beliau berkata dalam tempoh itu juga sebanyak 48 kematian membabitkan kes denggi telah dilaporkan berbanding 34 kematian pada 2023.

Mengenai program hari ini, beliau menyeru semua pihak untuk turut sama menjalankan aktiviti 'Cari dan Musnah' tempat pembiakan nyamuk Aedes di premis masing-masing selama 10 minit setiap minggu serta menjadikan aktiviti gotong-royong 'One Hour Malaysia Clean Up' sebagai aktiviti bulanan.

Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Leftenan Jeneral Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh.


INFO:

Nyamuk Aedes 'berWolbachia' merujuk kepada nyamuk Aedes aegypti yang dijangkiti dengan bakteria Wolbachia. Bakteria ini tidak membahayakan manusia tetapi dapat mengganggu kemampuan nyamuk untuk menyebarkan virus denggi.