PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) melancarkan Pelan Tindakan Perkhidmatan Kesihatan Warga Emas KKM 2023-2030 dan Pelan Tindakan Dementia 2023-2030 pada Selasa.


Ringkasan AI
  • Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melancarkan Pelan Tindakan Perkhidmatan Kesihatan Warga Emas KKM 2023-2030 dan Pelan Tindakan Dementia 2023-2030 untuk memperkasakan kesihatan warga emas sehingga 2030.
  • Kedua-dua pelan ini menggariskan strategi untuk menjaga kesihatan warga emas melalui program pencegahan, penjagaan diri, dan perkhidmatan kesihatan yang komprehensif dan berintegrasi berteraskan 'Patient-Centered Care'.
  • KKM memperluaskan kebolehcapaian perkhidmatan kesihatan primer kepada warga emas melalui klinik desa, dengan 416 klinik desa terlibat sejak Julai 2019 hingga Jun 2024.


Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kedua-dua pelan itu merupakan hala tuju perkhidmatan kesihatan warga emas sehingga 2030.

“Mustahak untuk saya tekankan kedua-dua tindakan ini menggariskan langkah strategi serta bagaimana kita memperkasakan kesihatan warga emas.

“Kesemua ini penting bertepatan dengan istilah pendekatan kesihatan yang menyeluruh yang mana kita menumpukan kepada keperluan perjalanan pesakit di usia senja mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia 2024 dan pelancaran Pelan Tindakan Perkhidmatan Kesihatan Warga Emas 2023-2030 serta Pelan Tindakan Dementia 2023- 2030

Beliau berkata kedua-dua pelan itu mengariskan strategi pemerkasaan penjagaan kesihatan warga emas untuk kekal sihat dalam komuniti melalui program pencegahan dan penjagaan diri dan melalui perkhidmatan kesihatan yang komprehensif, berintegrasi berteraskan 'Patient-Centered Care'.

Selain itu, Dzulkefly berkata objektif lain termasuk perluasan kebolehcapaian perkhidmatan kesihatan primer kepada warga emas melalui klinik desa yang bermula sejak Julai 2019 dan sehingga Jun 2024, sebanyak 416 buah klinik desa telah terlibat.

Tambah beliau, soal penjagaan kesihatan dan penggalakan agenda penuaan sihat adalah tanggungjawab bersepadu segenap lapisan masyarakat dalam menghadapi cabaran sepanjang transisi ke arah negara menua.

Sambutan Hari Warga Emas tahun ini bertemakan 'Sihat Madani Di Usia Emas' memfokuskan kepada aktiviti promosi kepentingan penuaan sihat dan bermaruah yang perlu bermula dengan pencegahan penyakit terutamanya penyakit tidak berjangkit (NCD) sejak usia muda, serta pembudayaan hidup sihat melalui Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).

Dzulkefly berkata selaras dengan hasrat tersebut, KKM sedang menambah baik Garis Panduan Pelaksanaan Kelab Warga Emas yang akan memandu kesemua 256 Kelab Warga Emas yang kini aktif di bawah KKM.

Dijangka sedia menjelang 2025, garis panduan itu antara lainnya bertujuan memperkasakan penjagaan kendiri kesihatan agar kebolehan berfungsi terus kekal dan kemerosotan dapat dilambatkan.

Malaysia dijangka mencapai status negara menua (atau aged nation) pada 2035 apabila 15 peratus daripada penduduk merupakan warga emas.