KOTA BHARU: Seorang imam di Kampung Layat, Jeli yang fasih berbahasa Jepun mempraktikkan bahasa berkenaan dengan bercakap bersama rakan dan menterjemah semula bahasa itu untuk kefahaman mereka.


Ringkasan AI
  • Mat Yaman Mat Yasin, seorang imam di Kampung Layat, Jeli, fasih berbahasa Jepun yang dipelajarinya pada tahun 1987 ketika mengikuti kursus pengurusan pertanian di Kagawa, Jepun. Beliau sering bercakap bahasa Jepun dengan rakan-rakan dan menterjemahkannya untuk kefahaman mereka.
  • Selain bahasa Jepun, Mat Yaman juga fasih berbahasa Arab dan Inggeris. Beliau mendapat peluang belajar bahasa Jepun semasa belajar di sebuah pondok agama dan mengikuti kursus di Jepun selama setahun.
  • Mat Yaman mempraktikkan bahasa Jepun dengan seorang guru wanita dari Chiba, Jepun yang berkhidmat di Sekolah Menengah Sains Jeli tiga tahun lalu. Walaupun guru tersebut telah pulang, beliau terus menggunakan bahasa tersebut dengan menterjemahkannya untuk jemaah masjid dan rakan sekampung.


Mat Yaman Mat Yasin, 64, yang juga Imam Muda Masjid Berdang, Jeli mempelajari bahasa Jepun pada tahun 1987 selepas terpilih mengikuti kursus pengurusan pertanian yang diurus oleh Lembaga Kemajuan Pertanian (KADA) di Kagawa.

"Saya akan bercakap bahasa Jepun jika ada yang mahu mendengarnya dan menterjamahkan semula. Saya tidak kisah walaupun tiada rakan-rakan dan keluarga yang boleh berkomunikasi bahasa berkenaan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Bapa kepada lima anak itu bersyukur kerana dapat berkomunikasi dalam dua bahasa asing lain iaitu bahasa Arab dan Inggeris.

Berkongsi kebolehannya berkomunikasi dalam bahasa berkenaan, warga emas itu memberitahu, mendapat peluang pergi ke Jepun ketika belajar di sebuah pondok agama di negeri ini.

"Sebaik tamat Tingkatan Lima, saya menyambung pengajian di sebuah pondok dan dihantar untuk mengikuti kursus berkenaan kira-kira setahun.

"Saya perlu mempelajari asas bahasa itu di Malaysia dan selama tiga bulan belajar secara insentif di sana," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Imam Muda itu sebelum ini ditemui pengguna aplikasi TikTok yang memintanya menggunakan bahasa Jepun untuk memberi tazkirah.

Bagaimanapun, Mat Yaman yang sudah 18 tahun berkhidmat di masjid itu memberitahu, selepas beberapa tahun beliau hampir lupa apabila tiada individu yang boleh diajak berbual.

"Ditakdirkan Allah SWT, Sekolah Menengah Sains Jeli di sini menggunakan khidmat seorang guru wanita dari Chiba, Jepun, Akisa Kinugawa tiga tahun lalu.

"Akisa sangat gembira kerana ada rakan untuk bersembang dan saya juga boleh mempraktikkan bahasa ini semula sepanjang guru itu berada di Malaysia," katanya.

Jelasnya, ada masanya dia bercakap dengan rakan sekampung dan jemaah masjid dan menterjemahkannya semula dalam bahasa Melayu walaupun selepas Akisa pulang.

Mat Yaman berkata, tidak pernah mengajarkan bahasa itu kepada isteri dan anak-anaknya kerana berpendapat bahasa Arab merupakan bahasa terbaik untuk dipelajari.

"Boleh belajar bahasa asing lain tetapi praktikkan bahasa Arab kerana itu bahasa al-Quran," katanya lagi.

Beliau kini menguruskan kebun buah-buahan dan pernah dilawati oleh seorang rakan yang juga dari negara matahari terbit itu beberapa tahun lalu.

"Saya turut menanam pokok longan brazil atau matua sebagai pendapatan tambahan selain durian dan pisang," katanya. - Sinar Harian