Ringkasan AI
- Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing memohon maaf atas cadangan timbalannya untuk menjadikan Pulau Langkawi sebagai destinasi pilihan Muslim, menekankan bahawa tiada lokasi pelancongan harus dikhususkan untuk agama tertentu.
- Tiong King Sing menjelaskan bahawa kenyataan timbalan menteri Khairul Firdaus mungkin tidak dijelaskan dengan jelas dan telah menyebabkan publisiti meluas. Beliau menegaskan pentingnya kerjasama untuk menarik pelancong antarabangsa ke Malaysia.
- Cadangan untuk menjadikan Langkawi sebagai destinasi pilihan Muslim mendapat reaksi pelbagai pihak, termasuk Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) yang menyatakan bahawa istilah destinasi mesra Muslim tidak sesuai digunakan di Malaysia kerana ia adalah sebuah negara Islam.
Menurut Ahli Parlimen Bintulu itu, tiada lokasi pelancongan harus dikhususkan kepada agama tertentu sahaja kerana ia tidak melambangkan identiti rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
"Saya bertugas di luar negara beberapa hari lalu, dan timbalan menteri (Khairul Firdaus) mungkin tidak menjelaskannya dengan jelas hingga membawa kepada publisiti meluas. Saya telah bercakap mengenai perkara ini dengan beliau.
"Sekali lagi saya memohon maaf berhubung kenyataan yang dibuat ini dan saya harap kita semua dapat bekerjasama untuk menarik lebih ramai pelancong antarabangsa dengan layanan mesra di setiap negeri nanti," katanya dalam hantaran di Facebok pada Sabtu.
Khairul Firdaus sebelum ini dilapor berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bercadang mahu menjadikan Langkawi sebagai destinasi pilihan Muslim.
Beliau memberi respons tersebut ketika menjawab soalan tambahan Teresa Kok (PH-Seputeh) mengenai perbezaan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 (VM2014) dengan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dan pendekatan kementerian menarik pelancong asing untuk melaksana negeri-negeri yang melaksanakan dasar patuh syariah di Dewan Rakyat.
Kenyataan yang dibuat Ahli Parlimen Batu Sapi itu kemudiannya mendapat reaksi pelbagai pihak.
Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) dalam satu kenyataan pada Sabtu menjelaskan penggunaan istilah ‘destinasi mesra Muslim’ dalam mempromosikan negara tidak sesuai digunakan kerana Malaysia adalah sebuah negara Islam.
Presidennya, Datuk Mohd Khalid Harun berkata, ini kerana istilah berkenaan hanya sesuai digunakan oleh negara bukan Islam. - Sinar Harian