Menurut Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, dapatan itu hasil siasatan dilakukan terhadap tekong dan kru bot terbabit yang membawa keseluruhan 436 warga Myanmar termasuk yang ditahan di Pantai Teluk Yu, Langkawi.
"Destinasi ketiga-tiga bot itu dipercayai adalah negara-negara yang menjadi laluan termasuk Malaysia khususnya di Langkawi.
"Maklumat risikan mendapati hanya tiga buah bot yang belayar dari Sittwe, Myanmar sejak Disember berikutan siklon angin yang sesuai ke Malaysia atau negara sekitarnya," katanya kepada Astro AWANI, pada Ahad.
Mengulas lanjut, Mohd Rosli berkata, bot pertama telah ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala dua lagi bot dikesan sekitar 2.7 batu nautika barat Daya Langkawi.
Sehubungan itu, Mohd Rosli berkata, kapal Maritim Malaysia, KM Tenggol bersama bot Perkasa 1228 dan bot PPM telah mengiringi bot-bot itu ke sempadan perairan negara sebelum diusir keluar.
"Kapal Maritim Malaysia masih kekal di posisi pengusiran bagi memastikan bot-bot itu tidak berpatah balik ke Malaysia.
"Aset-aset laut dan udara sentiasa membuat pemantauan dan diletak dalam sektor OP GUARD bagi mengawal perairan sempadan negara daripada dicerobohi," tegasnya.
Dalam pada itu, Mohd Rosli berkata, Maritim Malaysia telah meningkatkan rondaan di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti sebagai lokasi hot spot khususnya di sekitar perairan Langkawi.
Selain itu katanya, pengawasan di perairan sempadan Malaysia oleh aset laut, udara dan bantuan radar diperketatkan dan pengumpulan maklumat risikan cubaan pencerobohan masih lagi dipergiatkan.
"Maritim Malaysia juga bekerjasama rapat dan perkongsian maklumat dengan pihak berkuasa di Thailand dipertingkatkan," ujarnya.
Ditanya mengenai Operasi Guard (OP GUARD), Mohd Rosli berkata, operasi kali ini merupakan operasi yang keempat telah diaktifkan bermula 3 Januari hingga 10 Februari 2025 dan akan disambung mengikut situasi semasa.
"Operasi ini diaktifkan jika terdapat maklumat berkenaan bot PATI Myanmar yang cuba menceroboh perairan negara, tindakan pengusiran akan dilakukan dengan membayangi atau mengiringi keluar dari perairan negara.
"Melalui OP GUARD, kerjasama agensi-agensi keselamatan terus ditingkatkan samada dari aspek penguatkuasaan, kawalan serta logistik," katanya.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan mengenai dua bot kayu yang sarat penumpang disyaki etnik Rohingya dipintas Maritim Malaysia ketika cuba menceroboh perairan Langkawi pada Sabtu.
Ia kes kedua selepas polis menahan sekumpulan 196 etnik Rohingya di Pantai Teluk Yu, Mukim Ayer Hangat awal pagi Jumaat.