Ringkasan AI
- Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) tidak bersaing tetapi melengkapi taman-taman perindustrian yang ada, dengan limpahan permintaan dari industri di Pulau Pinang dan Kulim High-Tech Park.
- KIGIP akan menjadi hab utara Malaysia untuk bakat dan inovasi, berkat lokasi strategiknya yang dekat dengan institusi pendidikan dan kemahiran tinggi, serta akan menyediakan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
- Projek KIGIP, yang akan menggunakan tenaga solar sebagai sumber tenaga hijau utama, dijangka akan memberi sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi negara melalui aktiviti ekonomi baru, peluang pekerjaan tenaga mahir, dan pelaburan dalam sektor teknologi.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, KIGIP dilihat melengkapi limpahan permintaan selaras dengan kepesatan industri di Pulau Pinang dan Kulim High -Tech Park.
Beliau percaya, apabila beroperasi sepenuhnya kelak, kawasan perindustrian itu akan memberi sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi negara.
"KIGIP akan menjadi salah satu hab di utara Malaysia untuk menyemai bakat dan inovasi, berdasarkan lokasinya yang strategik dan berdekatan dengan pelbagai institusi pendidikan dan kemahiran tinggi, institusi TVET dan Pusat Latihan Giat MARA.
"Lokasi strategik ini akan memastikan bekalan graduan mahir mencukupi untuk mengisi jawatan berkemahiran dan bernilai tinggi di KIGIP, di samping mengutamakan dan memberi peluang kepada tenaga kerja tempatan yang berkemahiran untuk terus berkembang maju," katanya.
Beliau berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Induk KIGIP di Dewan Zainal Abidin Zain, Bagan Serai, Perak, pada Sabtu.
KIGIP adalah satu projek pembangunan taman perindustrian yang akan dijana oleh tenaga solar sebagai sumber tenaga hijau utamanya.
Ia bakal mencetuskan pelbagai aktiviti ekonomi, peluang pekerjaan tenaga mahir, serta pelaburan syarikat-syarikat dalam sektor seperti semikonduktor, elektrikal dan bahan elektronik, logistik, teknologi informasi dan komunikasi serta industri berasaskan pengetahuan.