BAGAN SERAI: Kerajaan bersetuju pada dasarnya meluluskan peruntukan RM4 bilion untuk projek pengurusan bekalan air Perak-Pulau Pinang, dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ringkasan AI
  • Kerajaan telah bersetuju pada dasarnya untuk meluluskan peruntukan RM4 bilion bagi projek pengurusan bekalan air dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah, yang akan menyelesaikan masalah air di Perak Utara dan Pulau Pinang.
  • Projek ini akan memenuhi keperluan air untuk Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) dan Seberang Perai, dengan pengurusan air yang baik dan proses yang teliti.
  • Perdana Menteri menyatakan projek ini sebagai keutamaan untuk kepentingan rakyat, dan jika diselesaikan, ia akan menyelesaikan keperluan bekalan air untuk puluhan tahun akan datang.


Menurut Perdana Menteri, projek itu bagi penyelesaian jangka panjang masalah air di Perak Utara, termasuk Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) dan Seberang Perai di Pulau Pinang.

Katanya, menurut kajian yang dibuat, sekiranya bekalan air di Perak diurus dengan baik, di samping proses yang teliti, ia bukan sahaja mencukupi, malah berlebihan.

"Oleh kerana itu, treated water memenuhi keperluan rakyat dan keperluan KIGIP. KIGIP akan memerlukan air yang cukup besar. Kalau kita sebut data center yang disebut sekarang data center plus AI itu keperluan tenaga, keperluan air sangat besar.

"Maka ia dapat dipenuhi dengan pengurusan air dan juga beberapa program tebatan sekali gus dan menggunakan jalur dari Bukit Merah ke Kerian untuk memenuhi keperluan KIGIP dan dari Kerian terus ke Seberang Perai," katanya.

Beliau berucap merasmikan Majlis Peluncuran Pelan Induk Pelan Induk Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) di Dewan Zainal Abidin Zain, Bagan Serai, Perak, pada Sabtu.


Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.


Tambah Perdana Menteri, projek itu akan dijadikan keutamaan untuk kepentingan rakyat Perak, terutamanya Utara Perak dan di Seberang Perai Selatan.


Menurutnya, jika projek itu dapat diselesaikan, ia dapat menyelesaikan keperluan bekalan air di Kerian, KIGIP dan Seberang Perai untuk puluhan tahun akan datang.

Bagi keperluan kawasan lain di Pulau Pinang, ujarnya, Ketua Menteri boleh berunding dengan kerajaan Kedah.