Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata banyak penambahbaikan telah dan sedang dilaksanakan mengikut keperluan, dan berdasarkan maklum balas yang diterima daripada semua pemegang taruh serta pihak-pihak berkepentingan.
"Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) ini projek baharu, naratif dunia sekarang ini bercakap soal teknologi hijau.
"Jadi projek ini kita bagi kelonggaran apa sahaja, kita buktikan dengan kesediaan Menteri Besar Perak (Datuk Seri Saarani Mohamad), ini rekod yang pernah kita dilakukan," katanya dalam ucapan perasmian Majlis Pecah Tanah KIGIP di sini hari ini.
Turut hadir Saarani, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Anwar berkata agensi dan penjawat awam terlibat juga perlu melaksanakan amalan kerja yang lebih baik dari sebelum ini.
Beliau berkata pelarasan gaji penjawat awam yang telah diumumkan dan akan dilaksana juga menjadi pemangkin kepada tatakelola yang lebih baik.
"Sebab itu jangan bosan bila kita bicara soal tatakelola, kita kena lihat secara positif, jika dilihat secara relatif sekarang kita lihat kastam (Jabatan Kastam Diraja Malaysia), Imigresen (Jabatan Imigresen Malaysia), Pejabat Tanah - ada perubahan ketara, jadi saya ucap terima kasih kepada penjawat awam kerana telah laksanakan (kerja) lebih baik dari sebelum ini," katanya.
Perdana Menteri berkata konsistensi dalam mengurus pembangunan Malaysia akan menjadikan negara ini lebih hebat dan diyakini pelabur.
"Dengan kekuatan ringgit kita, sebab itu kenapa dalam persaingan Google, mereka memilih kita, dalam persaingan Infineon, mereka juga akhirnya memilih kita, ini bukti pelabur yakin dengan negara kita," katanya.
Menyentuh tentang KIGIP, Anwar berkata ia merupakan antara projek pembangunan industri terbesar dalam negara yang dikendalikan sepenuhnya oleh syarikat Bumiputera.
Beliau berkata projek ini bukan sahaja membuktikan kemampuan dan kecekapan dalam pelaksanaan, malah pemerkasaan agenda bumiputera dalam projek berskala besar.
Perdana Menteri berkata projek ini juga berbeza dengan projek lain, apabila dana dikendalikan oleh pihak swasta dengan melihat kepada potensi pelaburan.
Beliau berkata kerajaan pula berperanan dalam menyediakan kemudahan asas bagi membantu membangunkan ekosistem bagi projek tersebut merangkumi kemudahan akses lebuhraya dan bekalan air.
"Saya nak projek ini projek kebanggaan kita, projek kebanggaan Bumiputera, projek kebanggaan rakyat Malaysia dan contoh yang hebat bagi kawasan rantau Asia Tenggara ini," katanya.
-- BERNAMA