Menurut Ketua Balai dan Penyelamat Pudu, Kuala Lumpur, Azahar Yaacob berkata, ia berikutan pengendalian kes berkenaan memerlukan kepakaran daripada kumpulan itu terutama melibatkan ‘teknik pemujukan' selain sokongan kerja berpasukan sedia ada badan itu.
”Sepatutnya kita (bomba dan penyelamat) perlu disediakan dengan kaunselor untuk mengendalikan kes cubaan bunuh diri. Kes bunuh diri boleh berlaku di mana-mana tempat sahaja.
“Namun, sebagai badan yang dipercayai oleh masyarakat, mungkin Jabatan Bomba boleh anjurkan satu kursus atau latihan sebagai kaunselor,” katanya semasa ditemui Astro AWANI di Balai Bomba dan Penyelamat Pudu di sini hari ini.
Pada masa sama, kaunselor atau pakar psikologi berkenaan dicadangkan dilantik dari kalangan kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang telah menghadiri program serta kursus-kursus berkaitan.
“Kalau nak panggil kaunselor dari dua atau tiga jabatan contoh hospital, mungkin ambil masa lagi (untuk ke tempat kejadian). Namun, kalau dari jabatan bomba ni cara menyelamat lebih mudah, dia boleh terus datang bersama pasukan," jelasnya.
Persediaan anggota bomba dan penyelamat sebelum menghalang percubaan seorang lelaki yang mahu membunuh diri di Flat Sri Sarawak, Kuala Lumpur pada 8 September lalu. - Foto sumber YouTube
Program khusus
Tambahnya, sehingga kini, tiada program khusus berkaitan cara mengendalikan kes bunuh diri yang ada pada setiap anggota bomba, sebaliknya, ia bergantung kepada motivasi diri dan kelebihan yang ada pada setiap anggota.
“Sebenarnya kita tidak hadir pun kursus secara formal macam mana nak 'pujuk' suspek. Kami banyak bergantung kepada pengalaman hidup dan bercakap dengan dia (suspek). Namun, saya ni nasib baik. Teknik (kaunseling) tidak ada sangat yang penting kita nak 'lalaikan' dia (suspek) saja. Kita tak pernah ada kursus mcm tu," ujar beliau.
Azahar bagaimanapun yakin pasukannya mampu mengendalikan kes berkenaan melalui semangat pasukan yang ditunjukkan badan itu.
Aksi salah seorang anggota daripada pasukan bomba dan penyelamat yang cuba menghalang cubaan bunuh diri di Flat Sri Sarawak, Kuala LUmpur pada 8 September lalu. - Foto sumber YouTube
Azahar adalah salah seorang anggota bomba dan penyelamat yang berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang cuba bunuh diri di Tingkat 15 Flat Sri Sarawak, Kuala Lumpur pada 8 September lalu.
Video berdurasi lebih tiga minit itu menjadi viral di media sosial dan mendapat pujian di kalangan netizen kerana usaha pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Pudu itu yang berjaya menyelamatkan pemuda berkenaan.
Pemuda itu dipercayai cuba bunuh diri kerana mempunyai masalah keluarga.
Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih daripada 800,000 orang di seluruh dunia membunuh diri setiap hari.
Ia bersamaan satu kematian bunuh diri bagi setiap 40 saat.
Di Malaysia, Pendaftaran Bunuh Diri Kebangsaan Malaysia mendedahkan nisbah kes bunuh diri adalah 1.3 bagi setiap 100,000 penduduk dengan jumlah kes 1,100 kes dalam masa tiga tahun (2008-2010).
Kementerian Kesihatan pula mendedahkan, bagi tempoh lima tahun (2010-2014), 338 kematian di hospital kerajaan adalah disebabkan perbuatan mencederakan diri dan jumlah kematian lelaki adalah lebih tinggi daripada wanita.
Kumpulan umur tertinggi adalah antara 25 hingga 44 tahun.