Tidak semua ahli perniagaan yang jujur. Demi keuntungan dan kelangsungan syarikat, mereka sanggup melakukan apa sahaja. Salah satunya dengan cara merasuah individu tertentu untuk mendapat projek.
Hakikat yang pahit untuk diakui, masalah rasuah dalam perniagaan di Malaysia adalah amat membimbangkan.
Kajian KPMG Malaysia Fraud, Bribery and Corruption Survey 2013 mendapati 71 peratus responden mengatakan, perniagaan tidak dapat dijalankan di Malaysia melainkan dengan membayar sejumlah rasuah.
Rasuah bukan hanya masalah negara kita. Jenayah tanpa mangsa atau ‘victimless crime’ ini adalah masalah global. Dalam skop yang lebih luas, Transparency International menganggarkan, dunia kerugian sebanyak USD2.6 trilion setiap tahun kerana rasuah.
Sejumlah USD1 trilion rasuah dibayar untuk pelbagai tujuan. Pertubuhan tersebut turut menyatakan, rasuah menyebabkan penambahan 10 peratus ke atas kos untuk menjalankan perniagaan.
Mengukuhkan Akta SPRM 2009
Pada 5 April 2018, Parlimen meluluskan pindaan Akta SPRM 2009 bagi mengukuhkan undang-undang berkaitan pencegahan rasuah di Malaysia, terutama dalam dunia perniagaan. Peruntukan undang-undang baharu, Seksyen 17A Akta SPRM 2009 memperuntukkan kesalahan rasuah oleh organisasi komersial.
Sebelum peruntukan ini wujud, Akta SPRM 2009 hanya memberi kuasa untuk mendakwa individu yang terlibat dengan rasuah sahaja. Realitinya, individu berkenaan memberi rasuah untuk mendapat projek atau faedah tertentu kepada syarikat mereka.
Malah, dalam banyak keadaan, perbuatan mereka itu telah mendapat restu daripada pengurusan tertinggi syarikat. Adakah adil hanya individu terlibat sahaja dihukum?
Oleh kerana itu, peruntukan baharu ini diperkenalkan. Peruntukan ini juga dikenali sebagai ‘liabiliti korporat’. Melalui Seksyen 17A Akta SPRM 2009, organisasi komersial juga mempunyai liabiliti dan boleh dihukum sekiranya pekerja atau kakitangannya terlibat dengan jenayah rasuah.
Selain itu, peruntukan ini juga bertujuan menggalakkan syarikat untuk mewujudkan polisi dan usaha pencegahan rasuah dalam organisasi mereka.
Undang-undang ini akan berkuat kuasa mulai 1 Jun 2020 iaitu selepas dua tahun kelulusan Parlimen. Tempoh ini bertujuan memberi masa yang cukup kepada organisasi komersial untuk memahami peruntukan baharu tersebut dan melaksanakan langkah perlu dalam pencegahan rasuah.
Memahami peruntukan ini tidaklah sebegitu sukar seperti yang disangka. Sebagai permulaannya, mari kita lihat apa yang dinyatakan oleh peruntukan undang-undang yang mampu mengubah landskap dunia perniagaan di Malaysia. Seksyen 17A Akta SPRM 2009 berbunyi:
(1) Suatu organisasi komersial melakukan kesalahan jika seseorang yang bersekutu dengan organisasi komersial itu secara rasuah memberikan, bersetuju untuk memberikan, menjanjikan atau menawarkan kepada mana-mana orang apa-apa suapan sama ada bagi faedah orang itu atau bagi faedah orang lain dengan niat -
(a) untuk memperoleh atau mengekalkan perniagaan bagi organisasi komersial itu; atau
(b) untuk memperoleh atau mengekalkan faedah dalam menjalankan perniagaan bagi organisasi komersial itu.
Bagi mereka yang tidak mempunyai latar belakang undang-undang, mungkin pernyataan ini agak mengelirukan. Secara mudahnya, Seksyen 17A Akta SPRM 2009 menyatakan bahawa kesalahan rasuah oleh organisasi komersial berlaku apabila:
* seseorang yang bersekutu dengan organisasi komersial
* memberikan atau bersetuju untuk memberikan atau menjanjikan atau menawarkan rasuah
* bertujuan untuk memperoleh apa-apa projek atau kontrak bagi organisasi komersial itu; atau untuk memperoleh apa-apa faedah dalam menjalankan perniagaan bagi organisasi komersial itu.
Organisasi komersial dan seseorang yang bersekutu
Setelah kita fahami secara umum Seksyen 17A Akta SPRM 2009, mari kita lihat kepada perinciannya pula. Dua istilah penting yang wajib difahami dalam seksyen ini adalah ‘organisasi komersial’ dan ‘seseorang yang bersekutu dengan organisasi komersial’. Mengapa kedua-dua terma ini amat penting? Apa yang dimaksudkan dengan kedua-dua terma ini?
Pertama, terma ‘organisasi komersial’ menjelaskan jenis organisasi yang tertakluk kepada Seksyen 17A Akta SPRM 2009.
Peruntukan ini tidak menggunakan istilah ‘syarikat’ kerana skopnya adalah lebih luas. Secara ringkasnya, terdapat empat kategori organisasi yang didefinisikan sebagai ‘organisasi komersial’ iaitu organisasi yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 2016; perniagaan yang didaftarkan di bawah Akta Perkongsian 1961; perniagaan yang didaftarkan di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012; dan syarikat luar negara yang menjalankan perniagaan di Malaysia.
Sekiranya anda tertanya-tanya sama ada sesebuah organisasi itu boleh didakwa di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009, anda perlu melihat kepada pendaftaran organisasi tersebut.
Terma kedua iaitu ‘seseorang yang bersekutu dengan organisasi komersial’ pula menjelaskan siapa individu yang mana perbuatan rasuah mereka itu boleh menyebabkan organisasi didakwa.
Undang-undang mendefinisikan individu ini kepada dua kategori. Pertama, individu yang berada dalam organisasi dan mempunyai hubungan langsung dengan organisasi iaitu pengarah, pekongsi atau pekerja organisasi. Kategori kedua, individu yang melaksanakan perkhidmatan bagi pihak organisasi komersial tersebut. Contohnya, perunding kepada organisasi atau ‘orang tengah’ yang dilantik oleh organisasi.
Hukuman dan siapa yang terlibat?
Menjadi persoalan dan ketakutan kepada industri adalah siapa yang akan dihukum sekiranya organisasi komersial didakwa dan didapati bersalah. Secara ringkasnya, hukuman boleh dikenakan kepada (1) individu yang melakukan rasuah; (2) pengurusan organisasi yang mengarahkan atau membenarkan perlakuan rasuah itu dibuat; dan (3) organisasi komersial itu sendiri.
Hukuman bagi kesalahan rasuah oleh organisasi komersial diperuntukkan melalui Seksyen 17A(2) Akta SPRM 2009. Sekiranya didapati bersalah, organisasi komersial atau individu yang terlibat boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai suapan, atau RM1 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi; atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun; atau kedua-duanya sekali.
Mengelakkan liabiliti korporat
Tiada organisasi yang mahu didakwa di mahkamah kerana jenayah rasuah yang dilakukan oleh pegawai atau kakitangan mereka. Mudah sahaja untuk mengelakkan pendakwaan. Organisasi komersial mesti menjalankan perniagaan dengan jujur dan memastikan warga mereka tidak menggunakan rasuah untuk mendapat keuntungan.
Seperti frasa Inggeris, “easier said than done”, realiti dunia perniagaan tidak semudah itu. Tekanan persekitaran perniagaan dan desakan ekonomi menyebabkan aktiviti rasuah terus dilakukan.
Seperti yang dijelaskan, sesebuah organisasi komersial akan didakwa sekiranya membenarkan pegawai atau kakitangan mereka menggunakan rasuah untuk memperoleh sesuatu projek atau mendapat apa-apa faedah. Jika didakwa, organisasi komersial masih boleh terlepas daripada hukuman. Bagaimana? Organisasi komersial terbabit mesti membuktikan bahawa usaha yang mencukupi untuk mencegah jenayah rasuah telah dilaksanakan.
Seksyen 17A(5) Akta SPRM 2009 menyatakan, Menteri akan mengeluarkan garis panduan berkaitan tatacara atau usaha yang boleh dilaksanakan oleh organisasi komersial untuk mengelakkan pendakwaan kerana kesalahan ini.
Pada 10 Disember 2018, YAB Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad melancarkan Garis Panduan Tatacara Mencukupi seperti mana yang dikehendaki di bawah Seksyen 17A(5) Akta SPRM 2009. Garis panduan ini menetapkan lima prinsip asas sebagai usaha mencegah rasuah dalam organisasi komersial. Dikenali dengan akronim T.R.U.S.T, prinsip-prinsip tersebut adalah seperti berikut:
a. Prinsip pertama: Top level commitment (Komitmen pengurusan atasan) - pengurusan organisasi mesti komited dan menzahirkan komitmen mereka dalam usaha mencegah rasuah. Mereka mesti memberi jaminan kepada pemegang taruh (stakeholders) bahawa organisasi akan sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa berkaitan rasuah. Paling penting adalah kesediaan pengurusan untuk memperuntukkan belanjawan yang mencukupi dan sumber manusia yang kompeten bagi memastikan agenda peningkatan integriti, tadbir urus dan pencegahan rasuah dapat dilaksanakan.
b. Prinsip kedua: Risk assessment (Analisa risko) - risiko rasuah wujud berpunca daripada pelbagai faktor, terutamanya akibat kelemahan sistem dan prosedur. Dari semasa ke semasa, organisasi mesti melaksanakan penilaian terhadap risiko, seterusnya melaksanakan usaha penambahbaikan. Garis panduan ini mencadangkan agar penilaian risiko dibuat setiap tiga tahun.
c. Prinsip ketiga: Undertake control measures (Pelaksanaan langkah kawalan) - Organisasi komersial perlu mewujudkan langkah kawalan dan kontingensi yang munasabah dan bersesuaian dengan sifat serta saiz organisasi bagi menangani sebarang risiko rasuah. Organisasi mesti merangka polisi dan prosedur untuk menangani percanggahan kepentingan (conflict of interest); pelaksanaan due-diligence dalam proses pelantikan pembekal atau kontraktor; polisi mengenai sumbangan dan penajaan termasuk sumbangan politik; polisi dan prosedur bagi menggalakkan pelaporan rasuah dan salah laku; dan polisi berhubung bayaran kemudahan (facilitation payment). Paling penting adalah setiap pelaksanaan polisi, prosedur dan inisiatif antirasuah mesti didokumentasikan.
d. Prinsip keempat: Systematic review, monitoring and enforcement (Pemantauan, penilaian dan penguatkuasaan secara sistematik) - Organisasi komersial mesti melaksanakan penilaian dan penambahbaikan berterusan terhadap polisi, prosedur serta inisiatif antirasuah. Organisasi perlu melantik individu yang kompeten untuk membuat audit dalaman inisiatif antirasuah. Dicadangkan agar organisasi melantik juruaudit luar untuk tujuan yang sama. Mendapatkan pensijilan MS ISO 37001: Anti-Bribery Management System merupakan salah satu inisiatif yang boleh dilaksanakan. Pemantauan terhadap pegawai dan kakitangan merupakan perkara yang amat penting. Sekiranya terdapat individu yang terlibat dengan rasuah dan salah laku, tindakan tegas mesti dikenakan terhadap mereka.
e. Prinsip kelima: Training and communication (Latihan dan komunikasi) - Polisi, prosedur dan inisiatif antirasuah yang dilaksanakan mesti dihebahkan kepada semua warga organisasi. Program kesedaran dan latihan mengenai pencegahan rasuah mesti dilaksanakan secara berterusan.
Kesalahan rasuah oleh syarikat - contoh kes di luar negara
Di luar negara, peruntukan undang-undang mengenai kesalahan rasuah oleh organisasi komersial bukan sesuatu yang baharu. Contohnya, peruntukan ini wujud dalam UK Bribery Act 2010 dan Foreign Corrupt Practices Act 1977 (FCPA) di Amerika Syarikat. Malah, Seksyen 17A Akta SPRM 2009 banyak mengadaptasi Seksyen 7 UK Bribery Act 2010.
Elok kita melihat beberapa kes melibatkan syarikat yang terkesan akibat jenayah rasuah yang dilakukan oleh pegawai dan kakitangan mereka.
a. Rolls-Royce
Rolls-Royce didakwa membayar jutaan pound bagi memperoleh kontrak kejuruteraan awam dan ketenteraan di beberapa buah negara. Rasuah dibayar oleh pegawai Rolls-Royce sendiri atau melalui orang tengah, dari tahun 1999 sehingga 2013.
Pada Januari 2017, melalui prosiding Deferred Prosecution Agreement (DPA), Rolls-Royce bersetuju membayar penalti sebanyak £671 juta bagi mengelakkan pendakwaan oleh pihak berkuasa United Kingdom, Amerika Syarikat dan Brazil. Walaupun Rolls-Royce telah dikenakan penalti, perkara itu tidak menghalang individu yang terlibat didakwa di mahkamah.
Pada November 2018, tiga bekas pegawai Rolls-Royce dan seorang pekerja syarikat perunding yang bertindak bagi pihak Rolls-Royce mengaku bersalah atas dakwaan rasuah. Turut didakwa adalah ‘orang tengah’ yang dilantik oleh Rolls-Royce.
b. Siemens AG
Siemens AG merupakan syarikat kejuruteraan elektronik terbesar di Eropah. Konglomerat Jerman ini berpangkalan di Munich dan Berlin. Siemens berhadapan dakwaan rasuah dan penyelewengan di 20 buah negara. Kontroversi rasuah melibatkan Siemens bermula lewat tahun 2002 sehingga 2006.
Siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa mendapati syarikat tersebut telah membuat bayaran yang meragukan kepada pihak-pihak tertentu berjumlah €1.3 bilion. Dipercayai jumlah itu adalah bayaran rasuah bertujuan memenangi bidaan kontrak bagi projek-projek besar. Penemuan tersebut menyebabkan Siemens berhadapan inkuiri di Jerman, Amerika Syarikat dan beberapa negara lain.
Siemens dibelenggu isu rasuah hampir tiga tahun. Negara-negara yang menjalankan siasatan dan pendakwaan terhadap Siemens termasuklah Amerika Syarikat, Rusia, China, Nigeria dan Malaysia. Dalam bulan Disember 2008, Siemens akhirnya mengaku bersalah atas dakwaan rasuah yang serius. Siemens bersetuju membayar penalti terbanyak dalam sejarah iaitu USD1.34 bilion.
c. Alcatel-Lucent
Alcatel-Lucent adalah syarikat telekomunikasi antarabangsa yang berpangkalan di Perancis. Syarikat ini didakwa melakukan dua kesalahan rasuah di bawah Foreign Corrupt Practices Act 1977. Pembayaran rasuah dibuat kepada pegawai kerajaan Costa Rica, Honduras, Taiwan dan Malaysia bertujuan untuk mendapatkan dan mengekalkan kontrak kerajaan bernilai jutaan dollar (US Dollar).
Pada 28 Disember 2010, Alcatel Lucent bersetuju membayar penalti lebih USD137 juta untuk menyelesaikan pendakwaan pihak berkuasa Amerika Syarikat.
Bagi kesalahan rasuah yang berlaku di Malaysia, siasatan SPRM bermula setelah Alcatel (Amerika Syarikat) membuat pengakuan bahawa Alcatel Malaysia ada membuat bayaran rasuah kepada pegawai Telekom Malaysia. Menurut mereka, tidak kurang 17 kali pembayaran dibuat antara tahun 2004 hingga 2006 bertujuan mendapatkan maklumat sulit mengenai tender-tender Telekom Malaysia.
Siasatan membawa kepada pertuduhan terhadap seorang pegawai Alcatel Telecommunications Networks (M) Sdn. Bhd. kerana kesalahan memberi rasuah berjumlah RM25,000 kepada pegawai Telekom Malaysia sekitar tahun 2006. Pada 1 Mac 2013, pegawai berkenaan disabitkan hukuman dan dijatuhkan dua tahun penjara dan didenda RM125,000.
d. Alstom
Alstom merupakan pemain utama dalam industri janakuasa tenaga dan pembinaan landasan keretapi. Syarikat ini telah bertapak di Malaysia sejak lebih 40 tahun yang lalu dan mempunyai 800 pekerja. Alstom menjadi sasaran dan tumpuan media apabila disiasat kerana rasuah. Seperti syarikat-syarikat sebelum ini, Alstom juga dikatakan menggunakan rasuah untuk mendapatkan kontrak di beberapa buah negara.
Dalam bulan November 2011, anak syarikat Alstom di Switzerland bersetuju membayar denda USD42.7 juta kepada agensi penguat kuasa Switzerland bagi menyelesaikan dakwaan rasuah tersebut.
Selain itu, dua eksekutif Alstom iaitu Pierucci (45) dan David Rothschild (67) dituduh di mahkamah kerana merasuah pegawai kerajaan Indonesia untuk mendapatkan kontrak berkaitan perkhidmatan janakuasa elektrik. Menurut laporan, pegawai yang dirasuah termasuk ahli Parlimen dan pegawai tinggi Perusahaan Listrik Negara, syarikat janakuasa milik Kerajaan Indonesia. Seorang lagi eksekutif Alstom iaitu William Pomponi (65) didakwa di bawah Foreign Corrupt Practices Act 1977 dan kesalahan pengubahan wang haram.
Peruntukan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 bukan semata-mata bertujuan untuk menghukum organisasi komersial. Semangat undang-undang ini lebih besar iaitu menggalakkan aktiviti perniagaan dijalankan secara jujur, bebas daripada rasuah dan mempromosi amalan tadbir urus baik dalam organisasi.
Peruntukan baharu ini juga memenuhi obligasi antarabangsa iaitu Article 26 United Nations Convention Against Corruption (UNCAC) - Liability of legal persons dan Chapter 26 Trans-Pacific Partnership Agreement (TPP) & Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership - Transparency & Anti-Corruption.
Diharapkan peruntukan baharu ini tidak hanya sekadar menjadi ‘kosmetik’, tetapi benar-benar berkesan dan mampu membentuk persekitaran perniagaan yang bebas daripada rasuah.
______________________________________________________________________________________
* Mohamad Tarmize Abdul Manaf merupakan Ketua Seksyen Perhubungan Masyarakat, Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Mohamad Tarmize Abdul Manaf
Thu Feb 21 2019
Pertama, terma organisasi komersial menjelaskan jenis organisasi yang tertakluk kepada Seksyen 17A Akta SPRM 2009.
Sukan SEA 2025: Penganjur tambah jumlah acara di luar jangkaan - MOM
Sukan SEA 2025 di Thailand berpotensi menjadi edisi yang menawarkan jumlah pingat emas terbanyak, dengan 585 acara dijangka dipertandingkan dari 9 hingga 20 Dis di Bangkok, Chonburi, dan Songkhla.
Nahas ngeri Ayer Keroh: Dua beradik menangis diberitahu ibu bapa meninggal dunia
Dua beradik yang terselamat dalam kemalangan ngeri membabitkan lima kenderaan di Kilometer 204 PLUS arah utara Isnin lepas, telah dibenarkan keluar dari hospital.
Pulau Pinang masih kurang hotel - Ketua Menteri
Pulau Pinang masih kekurangan bilik hotel untuk menampung jumlah kemasukan pelancong asing dan domestik yang semakin bertambah.
Pergaduhan di stesen LRT: Beberapa individu lain akan ditahan - Polis
Polis akan menahan beberapa lagi individu bagi membantu siasatan membabitkan kes pergaduhan dua kumpulan penyokong bola sepak di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur.
AWANI Ringkas: Nahas bas Norway: Empat rakyat Malaysia terlibat
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Hokkaido akan kenakan cukai penginapan sehingga 500 yen
Kerajaan Hokkaido, sebuah pulau di utara Jepun yang terkenal dalam kalangan pelancong, akan memperkenalkan cukai penginapan sehingga 500 yen (US$3) semalam mulai April 2026.
Serangan Israel di lapangan terbang Yaman boleh lumpuh bantuan kemanusiaan - PBB
Julien Harneis memberi amaran sekiranya lapangan terbang Sanaa tidak mampu beroperasi, ia berkemungkinan melumpuhkan operasi bantuan kemanusiaan.
Serangan lapangan terbang Sanaa jejas misi kemanusiaan
Pegawai bantuan Utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Yaman, Julien Harneis memberi amaran sekiranya lapangan terbang Sanaa tidak mampu beroperasi, ia berkemungkinan melumpuhkan operasi bantuan kemanusiaan.
Bayi di Palestin meninggal dunia akibat cuaca sejuk - UNRWA
Pesuruhjaya Agensi Kerja dan Bantuan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), Philippe Lazzarini, berkata bayi di Semenanjung Gaza meninggal dunia akibat cuaca sejuk dan kekurangan tempat perlindungan.
Banduan maut dipukul pegawai penjara
Pihak berkuasa di New York, Amerika Syarikat (AS), semalam mendedahkan rakaman yang menunjukkan seorang banduan kulit hitam dibelasah pengawal penjara sebelum lelaki itu meninggal dunia.
Tiada perbincangan wujudkan kerajaan perpaduan, hanya perjumpaan biasa - Tun Mahathir
Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan pertemuannya dengan beberapa pemimpin beberapa hari lalu hanyalah sebagai perjumpaan biasa.
SPRM anjur mesyuarat ACTWG APEC secara maya
Mesyuarat itu bermula pada 19 Oktober 2020 sehingga 23 Oktober nanti.
COVID-19: SKM peruntuk insentif pemulihan RM1 juta
Sehingga September, SKM meluluskan bayaran insentif PULIH berjumlah RM525,500 kepada 65 koperasi di negara ini.
PRN Sabah: Isu ekonomi, MA63 dan pembangunan jadi tumpuan
Madeline berkata, negeri-negeri yang kurang membangun juga perlu diberikan perhatian yang lebih.
Pemimpin Arab jadi sasaran alat Israel, AS - MAPIM
MAPIM mengutuk keras sikap pengecut dan bacul pemimpin Bahrain yang sanggup menjual diri kepada Israel dan Amerika dengan mengumumkan perjanjian damai bersama rejim itu.
Majlis Kemakmuran Bumiputera platform tertinggi perkukuh sosioekonomi Bumiputera - Perdana Menteri
Kerajaan mewujudkan Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) sebagai platform tertinggi untuk memperbaharui dan memperkukuh pembangunan sosioekonomi Bumiputera.
Hadi Awang serah laporan mengenai Timur Tengah kepada Perdana Menteri
Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menyerahkan Laporan Eksekutif kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Rasuah: Selangor tidak bercadang pindahkan penjawat awam negeri
Kerajaan Selangor tidak bercadang untuk merombak atau memindahkan penjawat awam termasuk penguat kuasa negeri, sebagai langkah penyelesaian bagi membendung gejala rasuah dalam sektor berkenaan.
Muhyiddin mahu tindakan segera bantu tingkatkan taraf kehidupan penduduk PPR
Lawatan itu, ujar Perdana Menteri, banyak memberi maklumat kepada dirinya mengenai kehidupan warga kota atau golongan miskin bandar.
#RealLifeHeroes mengangkat semangat Hari Kemanusiaan Sedunia 2020
19 Ogos 2020 merupakan tahun kesebelas kita sama-sama menyambut Hari Kemanusiaan Sedunia.