KUALA LUMPUR : Ketua Polis Negara menjelaskan pihaknya sedang berusaha mengekstradisi tiga suspek warga Thailand yang dipercayai terlibat dalam serangan terhadap dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand, November tahun lalu.

Penjelasan itu dibuat Tan Sri Abdul Hamid Bador, sehari selepas Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad, memaklumkan ketiga-tiga mereka yang kini berada di Thailand tidak dapat diekstradisi ke negara ini kerana kedua-dua negara tidak mempunyai perjanjian ekstradisi.

Abdul Hamid dalam kenyataan pada Sabtu berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang berusaha untuk menangkap ketiga-tiga suspek untuk didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Menteri di Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menandatangani permohonan ekstradisi baru-baru ini, selaras dengan hubungan Malaysia dan Thailand melalui triti yang telah dimeterai di Bangkok pada 4 Mac 1911 iaitu 'Treaty Between The United Kingdom and Siam Respecting the Extradition of Fugitive Criminals'

"Setelah penubuhan Persekutuan Persekutuan Tanah Melayu, pada 27 Oktober 1959 triti ini telah dipersetujui untuk diteruskan sebagai instrumen ektradisi di antara Malaysia dan Thailand," jelasnya.

Beliau memberi jaminan, PDRM amat komited untuk memastikan segala usaha diambil agar kesemua suspek dalam kes berkenaan dapat dibawa ke Malaysia supaya mereka dapat diadili berdasarkan undang-undang negara.

BACA: Suspek kes tembak anggota PGA tidak dapat diekstradisi ke Malaysia


Ekstradisi | Thailand tidak akan serahkan suspek bunuh anggota PGA   
 
Dalam kejadian 24 November tahun lalu, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkorban manakala Sarjan Norihan Tari, 39, cedera dalam pertempuran dengan sekumpulan 13 penyeludup kira-kira 600 meter dari tembok sempadan negara berhampiran pos kawalan TS9, Padang Besar.

Susulan itu, polis giat memburu semua suspek dengan seramai 52 orang termasuk empat warga Thailand ditahan di Malaysia  bagi membantu siasatan. Tiga suspek utama bagaimanapun ditahan pihak berkuasa Thailand di negara itu.