Ringkasan AI
- Siasatan Kematian: Polis sedang menyiasat kematian seorang lelaki Orang Asli berusia 25 tahun dalam tahanan pada 4 Mei, dengan laporan diserahkan kepada Mahkamah Koroner dan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) dalam tempoh 24 jam.
- Punca Kematian: Bedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Afzan mendapati lelaki tersebut meninggal dunia akibat menggantung diri. Dia ditahan pada 1 Mei atas kesalahan mencuri motosikal dan didapati positif dadah jenis morphine.
- Tuntutan Penjelasan: Ibu kepada lelaki tersebut, Noriah Hitam, menuntut penjelasan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai kematian anaknya, yang tidak dapat diterima olehnya.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad menjelaskan, kes tersebut sudah dirujuk kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) dalam tempoh 24 jam seperti yang termaktub dalam Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2022 (Akta 839).
"Pada 7 Mei lalu, iaitu dalam tempoh tujuh hari, satu laporan berkala untuk pemantauan dan perkembangan siasatan juga diserahkan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Azri turut memberitahu, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut selepas bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan mendapati punca kematian adalah disebabkan menggantung diri.
Menjelaskannya, beliau berkata, lelaki berkenaan ditahan kira-kira pukul 6.30 petang, 1 Mei lalu atas kesalahan menunggang motosikal curi dan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Ujian saringan yang dijalankan ke atas lelaki itu juga katanya mendapati positif dadah jenis morphine.
"Justeru siasatan juga disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Beliau memberitahu, tahanan tersebut direman tiga hari bermula 2 Mei lalu di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan, sebelum ditemukan mati pada 4 Mei lalu.
Beliau berkata demikian kepada kenyataan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Mohamed Hanipa Maidin dalam satu portal berita berhubung kematian Orang Asli itu.
Sebelum ini, ibu kepada tahanan itu, Noriah Hitam, 51, dari Kampung Orang Asli Runchang, Pekan menuntut penjelasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kematian anak lelaki sulungnya itu.
Menurutnya, dia tidak dapat menerima kenyataan bahawa anaknya meninggal dunia dalam tahanan dan jagaan polis.