Ayob Khan tidak pernah ada akaun grup 'khas' atas namanya di WhatsApp - PDRM
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, tidak pernah mengendalikan sebarang akaun grup aplikasi WhatsApp.
Firdaus Azil
Mon Oct 21 2024
Pihak polis telah mengesan satu pesanan individu yang mengaku sebagai 'Dato' Ayob Khan Mydin' di aplikasi WhatsApp. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, tidak pernah mengendalikan sebarang akaun grup aplikasi WhatsApp.
Setiausaha Polis Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Kamaruzaman Abdullah berkata, pihak polis telah mengesan satu pesanan individu yang mengaku sebagai 'Dato' Ayob Khan Mydin' di aplikasi tersebut.
Jelasnya, individu tersebut juga dikesan cuba mengajak individu lain untuk turut menyertai grup Whatsapp 'friendship group' di platfom aplikasi tersebut.
“Perbuatan individu yang tidak bertanggungjawab ini boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat serta berpotensi memburukkan imej pasukan PDRM,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.
Kamaruzaman berkata, PDRM akan bertindak tegas dan menjalankan siasatan terhadap pemilik nombor berkenaan berdasarkan lunas undang-undang terhadap individu yang cuba menggunakan nama pimpinan tertinggi PDRM mahupun orang lain sekiranya terkesan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dan sentiasa berwaspada dengan aktiviti penipuan atas talian.