KUALA LUMPUR: Bedah siasat ke atas mayat seorang wanita berusia lingkungan 80-an yang dipercayai dibunuh oleh anak lelakinya sebelum disumbat di dalam peti sejuk beku di Taman OUG, Jalan Klang Lama di sini, masih lagi dijalankan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, proses berkenaan yang bermula pada Rabu terpaksa mengambil sedikit masa disebabkan keadaan mayat mangsa yang dalam keadaan beku.

"Pasukan forensik perubatan terpaksa mengambil sedikit masa disebabkan keadaan mayat yang disimpan dalam peti sejuk beku lebih tiga tahun," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Khamis.

Setakat ini kata Rusdi, beberapa ujian klinikal masih dijalankan ke atas mayat mangsa sebagai sebahagian daripada proses bedah siasat.

Menurutnya, suspek masih dalam rawatan dan pemerhatian doktor.

Polis sebelum ini menemukan mayat seorang wanita warga emas yang disimpan dalam peti sejuk beku selepas dipercayai dibunuh anaknya di sebuah rumah di Taman OUG, di sini.

Perkara itu terbongkar selepas anak lelaki mangsa yang dilaporkan mengalami masalah kesihatan menghubungi polis sebelum memaklumkan kejadian itu.

Mangsa yang dipercayai dibunuh pada Mac 2021 dibalut dengan tuala dan plastik sebelum diletakkan di dalam peti sejuk beku.