KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki yang lengkap berpakaian ditemukan dalam keadaan  tertiarap di tebing sungai berhampiran kunci air, Jalan Ngah Ibrahim 35/135, Shah Alam, pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superitendan Ramsay Anak Embol berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.03 petang daripada orang awam berhubung kejadian itu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di tempat kejadian, polis tidak menemukan sebarang pengenalan diri mangsa.

"Berdasarkan siasatan awal pula, polis tidak mendapati sebarang kesan pergelutan atau lain-lain kecederaan yang boleh menyebabkan kematian.

"Setakat ini kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya dalam kenyataan  di sini, pada Ahad.

Ujar Ramsay, mayat mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.