KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa banyak perkara pelik yang berlaku berhubung pembelian dua lot banglo bernilai RM5.9 juta di Country Height, Kajang oleh Yayasan Al-Falah milik keluarga bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Perkara itu dimaklumkan Penolong Kanan Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang juga saksi ke-94, Mohd Tharuzi Mohd Nor ketika pemeriksaan semula Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazilee Abdul Khairi di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Menurut beliau, siasatan yang dijalankannya mendapati tiada resit atau dokumen daripada Yayasan Akalbudi berhubung pembelian itu meskipun pembayaran sebanyak RM5.9 juta dikeluarkan melalui cek Malayan Banking Berhad milik Tetuan Lewis & Co.

Jumlah itu, jelasnya, dibayar kepada Bee Garden Holdings Sdn Bhd bagi tujuan pembelian dua lot banglo berkenaan atas arahan Ahmad Zahid.

Ahmad Sazilee: Adakah kamu tahu Yayasan Akalbudi menyumbangkan banglo kepada Yayasan Al Falah? Kamu jawab tidak tahu. Jelaskan kepada mahkamah ada apa-apa dokumen menyatakan Yayasan Akalbudi kepada Yayasan Al Falah atau apa-apa dokumen berkenaan banglo ini.

Mohd Tharuzi: Tidak ada dokumen Yayasan Akalbudi dijumpai dalam siasatan saya berkaitan dengan pembelian dua lot banglo.

Ahmad Sazilee: Dalam keadaan ini, ada apa-apa pelik kamu rasakan dan dapati? Sekarang saya nak tanya apa yang pelik, dari segi dokumentasi apa yang pelik?

Mohd Tharuzi: Tiada apa-apa dokumen Yayasan Akalbudi dijumpai. Kedua, tiada wang tunai atau sumbangan Yayasan Akalbudi kepada Yayasan Al Falah. Ketiga, dua lot banglo ini berdekatan dengan kediaman Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Sazilee: Tadi ditanyakan ini adalah sumbangan, ada apa-apa resit sumbangan ini?'

Mohd Tharuzi: Tidak ada Yang Arif.

Ahmad Sazilee: Adakah ini suatu yang pelik atau tidak pelik?

Mohd Tharuzi: Pelik Yang Arif.

Ahmad Sazilee: Ada apa-apa senarai ahli atau ahli jawatankuasa amanah Yayasan Al Falah yang kamu jumpai semasa siasatan?

Mohd Tharuzi: Dalam siasatan saya pemegang amanah yang ada dalam Yayasan Al Falah iaitu Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi, Faisalludin Mohamat Yusuff dan Mohd Farid Abdullah, selain itu tiada ahli lain dijumpai.

Ahmad Sazilee: Adakah ini suatu perkara biasa atau pelik?

Mohd Tharuzi: Agak janggal nak menguruskan satu yayasan hanya tiga orang.

BACA: RM17.9 juta dikeluar tanpa persetujuan Lembaga Pemegang Amanah - Saksi

BACA: Kronologi kes rasuah Zahid Hamidi melibatkan dana Yayasan Akalbudi

Terdahulu dalam penyataan bertulisnya, Mohd Tharuzi menyatakan hasil siasatan mendapati pada akhir tahun 2016 Datuk Eric (saksi ke-63) mendapat maklumat bahawa Tan Sri Lee Kim Yew (saksi ke-57) yang juga Pengarah Bee Garden Sdn Bhd ingin menjual dua buah banglo di Country Height, Kajang.

Perbicaraan Rasuah | Kes perbicaraan Zahid Hamidi

Mohamad Nasaee yang juga Pengerusi Yayasan Al Falah, katanya, kemudian berminat untuk membeli dua lot banglo untuk Yayasan Al Falah dan memaklumkan perkara tersebut kepada abangnya iaitu Ahmad Zahidi.

Berdasarkan siasatan, Ahmad Zahid telah menerima tujuh keping cek berjumlah RM5 juta daripada syarikat Mastoro Kenny IT yang dibawa oleh Junaith (saksi ke-36) dan sekeping cek berjumlah RM2 juta daripada individu bernama Mubarak Hussain (saksi ke-62).

Lapan keping cek tersebut kemudian dimasukkan ke dalam akaun Lewis & co menerusi akaun Maybank Berhad.

Jumlah wang itu kemudiannya digunakan untuk membeli dua Sijil Simpanan Tetap berjumlah RM5 juta dan RM2 juta.

Pada 4 Januari 2017, Ahmad Zahid memberi arahan kepada Muralidharan Balan Pilai untuk mencairkan semula simpanan tetap tersebut.

Hasil penjualan kedua-dua simpanan tetap berjumlah RM7,019,680.07 termasuk faedah.

Daripada jumlah tersebut, wang RM5.9 juta telah dibayar oleh Yayasan Al Falah kepada Bee Garden Holdings Sdn Bhd dengan menggunakan cek Malayan Banking milik Tetuan Lewis & Co atas arahan Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan dana puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.