KUCHING: Polis Sarawak menahan dua lelaki yang juga suspek kes bunuh seorang pekerja ladang di Lundu di hadapan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Biawak, dekat Lundu, pada Rabu.

Mengesahkan perkara itu Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 24 dan 25 tahun.

“Mereka ditangkap oleh sepasukan polis di lokasi CIQ Biawak untuk siasatan lanjut.

"Polis turut merampas sebatang senjata yang dipercayai digunakan untuk menyerang mangsa dalam kejadian terbabit.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri

Jelasnya, kes bunuh itu dilaporkan berlaku pada 10 Mac lalu di hadapan ladang Polima Sdn Bhd Lundu sekitar jam 9.20 malam.

"Hasil siasatan mendapati, suspek  bertindak agresif dengan menyerang mangsa yang merupakan seorang pekerja ladang berumur 25 tahun di bahagian kepala dan muka, sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Tegasnya, siasatan terperinci akan dijalankan dari pelbagai sudut.

"Hasil siasatan akan dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tujuan pertuduhan," ujarnya.

Sebelum ini, seorang lelaki dari Kampung Senibong Lundu dijumpai mati dipercayai dibunuh di kawasan jalan raya di sebuah ladang sawit di sini.

Mangsa mengalami kesan koyak, lebam dan berdarah di bahagian muka dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

Kejadian dipercayai berpunca daripada pergaduhan yang berlaku dengan orang luar yang masuk ke kawasan ladang.