Budaya Peranakan di Malaysia lahir daripada perkahwinan campur antara masyarakat Cina dan penduduk tempatan, melahirkan identiti unik yang menggabungkan elemen Cina, Melayu, dan pengaruh kolonial.
Pakaian tradisional kebaya Nyonya, makanan seperti kuih-muih Nyonya, serta bahasa Baba Melayu merupakan antara elemen budaya Peranakan yang turut diserlahkan dalam filem ini.
Filem ini mengisahkan penyatuan dua insan daripada latar belakang berbeza melalui ikatan perkahwinan, yang menjadi simbol permulaan baharu demi kemajuan bersama.
‘Setulus Hati’ membawa penonton menyelami perasaan seorang gadis kecil bernama Su Lin, yang bergelut menerima keputusan ibunya untuk memulakan hidup baharu bersama pasangan baharu.
Kisah ini turut mengimbau cabaran yang dilalui ibunya setelah kehilangan suami ketika Su Lin masih kecil.
Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Perhubungan dan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Siti Azlina A Latif, berkata filem ini mengangkat mesej kekeluargaan, penerimaan dan harapan.
“Filem ini mengajak kita untuk membuka lembaran baharu dengan kasih sayang dan semangat saling menyokong demi kemajuan bersama,” katanya.
Beliau turut mengajak seluruh rakyat Malaysia bagi bersama-sama menghayati dan menyaksikan filem tersebut bagi mengetahui kesudahannya.
“Ketika majlis sedang berlangsung gadis ini meluahkan perasaannya yang terpendam. Mampukah Su Lin membuka hatinya untuk menerima keluarga baru?” tambahnya.
Filem ‘Setulus Hati’ boleh ditonton di platform rasmi Youtube dan Facebook PETRONAS.