Di bawah perjanjian itu, Petronas Abu Dhabi akan memegang 100 peratus ekuiti dan bertanggungjawab ke atas pengendalian sepanjang tempoh cari gali berkenaan.
"Onshore Block 2 di wilayah Al Dhafra, Abu Dhabi itu meliputi kawasan seluas lebih 7,300 kilometer persegi.
"Ini merupakan konsesi ketiga untuk Petronas Abu Dhabi selepas Unconventional Block 5 pada 2024 dan Unconventional Block 1 pada 2022," kata syarikat minyak dan gas negara itu dalam kenyataan hari ini.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Huluan Petronas, Mohd Jukris Abdul Wahab berkata, kerjasama dengan SCFEA akan meluaskan lagi portfolio huluan syarikat nasional itu di Abu Dhabi.
"Usaha itu membabitkan sumber konvensional dan bukan konvensional yang menawarkan potensi bagi pertumbuhan cari gali," katanya.
Petronas berkata, sebagai syarikat minyak dan gas negara dengan kehadiran global, ia kekal komited bagi mengimbangi obligasi domestik dan pada masa sama turut merebut peluang antarabangsa dan mengekalkan portfolio perniagaan yang kukuh dalam kepesatan landskap tenaga.
Sejajar dengan sasaran pelepasan sifar bersih syarikat, Petronas Abu Dhabi kekal komited untuk meninjau pendekatan mampan dalam operasinya, kata kenyataan itu. - BERNAMA