Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas tertuduh, Calvin Phua Kim Hau, 27, di akhir kes pendakwaan.
Abu Bakar dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kematian mangsa disebabkan oleh kecederaan yang dilakukan tertuduh.
"Mahkamah ini telah menimbangkan secara maksima keterangan yang dikemukakan sepanjang kes pendakwaan dan setelah menghalusi hujahan bertulis pihak-pihak, mahkamah ini berpuas hati bahawa kecederaan tubuh badan pada si mati mencukupi dalam keadaan biasa untuk menyebabkan kematian.
"Mahkamah berpendapat keterangan dua orang saksi pendakwaan tidak secara positif mengesahkan tertuduh yang melakukan tikaman ke atas si mati.
"Sekadar kehadiran tertuduh di tempat kejadian tanpa perlakuan lainnya tidak mencukupi untuk mengaitkan tertuduh dengan pembunuhan yang berlaku," hujahnya.
Sebelum ini, Calvin didakwa membunuh John Liew Yuan, 24 (ketika kejadian) di hadapan pos pengawal sebuah kondominium di Jalan Masai Jaya, Plentong di sini, kira-kira jam 2.30 pagi, 3 Jun 2018.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan. - Sinar Harian