Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, hasil soal siasat dilakukan ke atas suspek yang kini dalam tahanan reman polis mengakui terdesak mendapatkan wang sebagai perbelanjaan menyaksikan perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Kemboja.
Beliau berkata, ia merupakan perlawanan Malaysia di kejohanan Piala Mitsubishi Electric Asean 2024 di Phnom Penh, Kemboja, pada 8 Disember lalu.
Jelas beliau, perkara itu dikenal pasti sebagai motif pembunuhan seorang wanita yang mayatnya ditemui reput di Tabuan Jaya pada Sabtu.
"Motif pembunuhan tersebut diketahui selepas suspek yang kini ditahan reman mengaku melakukan perbuatan itu (membunuh mangsa) semasa disoal siasat.
"Suspek juga mengaku mengambil barang kemas mangsa iaitu gelang tangan emas dan anting-anting emas untuk digadai.
"Suspek memerlukan wang untuk perbelanjaan menyaksikan kejohanan bola sepak di Kemboja," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Mancha berkata, beliau yakin polis kini hampir berjaya menyelesaikan kes berkenaan.
Jelas beliau, ia berdasarkan kejayaan polis menahan dan melakukan siasatan ke atas suspek, seterusnya suspek membuat pengakuan membunuh mangsa.
Malah kata beliau, berdasarkan bukti yang diperoleh, polis percaya kes itu hampir selesai.
"Suspek juga telah menunjukkan lokasi mayat mangsa dibuang sehingga membawa kepada penemuan mayat wanita yang sudah reput baru-baru ini," ujarnya.
Mancha berkata, semasa pemeriksaan susulan di lokasi mayat mangsa ditemui di longkang berdekatan tempat pembuangan sampah di Tabuan Jaya pada Selasa, polis menemukan beberapa bahan bukti baharu antaranya pakaian, gigi serta gumpalan rambut.
"Polis terpaksa pergi semula ke lokasi itu semalam kerana ketika diketemukan, mayat tidak berpakaian lengkap.
"Hasil pemeriksaan terbaharu itu, pihak polis berjaya menemui bukti baharu," ujarnya.
Beliau berkata, identiti mayat yang dijumpai di Jalan Setia Raja telah dikenal pasti dan disahkan sebagai Nurul Asikin Lan.
Pada 5 Disember lalu, polis menerima laporan kehilangan seorang wanita, Nurul Asikin Lan, selepas mangsa dikatakan keluar dengan seorang lelaki yang baru dikenali.
Berikutan keadaan mayat yang sudah reput, keluarga wanita terbabit tidak dapat membuat pengecaman. - Sinar Harian