PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan pengenaan sebarang syarat tambahan kepada golongan warga emas yang ingin memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM), sebagaimana yang tular di media sosial.

Ketua Pengarahnya Datuk Aedy Fadly Ramli berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) serta JPJ tidak meletakkan apa-apa syarat tambahan, dan proses pembaharuan LMM bagi golongan ini masih tertakluk kepada syarat-syarat dan Prosedur Operasi Standard (SOP) pembaharuan LMM sedia ada di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Orang ramai diingatkan agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar dan meneliti setiap maklumat yang diterima.

"JPJ sentiasa berusaha dan komited untuk memastikan kesejahteraan orang awam terutamanya para pelanggan JPJ sentiasa terpelihara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan penularan satu pesanan di platform media sosial yang mendakwa kononnya golongan warga emas perlu menjalani penilaian kompetensi dan kesihatan, sebelum memperbaharui LMM.

Maklumat lanjut berkaitan pembaharuan LMM boleh dibuat dengan melayari www.jpj.gov.my.

-- BERNAMA