Beliau berkata projek berkenaan masih di peringkat perancangan dan tiada sebarang kontrak telah dimuktamadkan.
"Saya tidak tahu apa yang mereka (PAC) mahu siasat. Kontrak pun belum dimeterai. Tiada apa yang perlu mereka siasat kerana ia masih di peringkat perancangan.
"Ia masih belum ditandatangani seperti yang telah saya nyatakan di Parlimen berkali-kali," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian usaha sama antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL) di sini hari ini.
Pada 12 Dis, PAC mengumumkan akan memulakan prosiding lima isu baharu pada sesi persidangan Dewan Rakyat akan datang.
Pengerusinya Datuk Mas Ermieyati Samsudin dilaporkan berkata isu terbabit antaranya melibatkan prosiding Pengurusan Lapangan Terbang, Pelaburan Domestik Khazanah Nasional Bhd dan Pembangunan Tanah Kuala Lumpur.
Isu lain ialah Ekosistem Perkhidmatan Kesihatan Swasta, Mekanisme Pengawalan, Rangka Perundangan dan Kaedah Pembiayaan melalui Insurans Perubatan; Implikasi Kenaikan Harga Perkhidmatan Swasta kepada Hospital Kerajaan serta Perolehan Kereta Api Elektrik Secara Pajakan Selama 30 Tahun Bernilai RM10.7 bilion.
Pada 14 Ogos, Loke berkata kerajaan bersetuju melaksanakan strategi baharu perolehan aset tren-tren penumpang untuk rangkaian kereta api Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dengan kaedah secara pajakan.
Beliau berkata kaedah terbabit akan dilaksanakan melalui mekanisme kerajaan dengan kerajaan (G2G) antara Malaysia dan China sebagai langkah meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam.
Bagi tempoh Fasa 1 iaitu dari 2024 hingga 2027, pelaksanaan strategi baharu itu menyasarkan penambahan 62 set tren penumpang baharu dengan anggaran kos RM10.7 bilion yang akan ditampung secara ansuran selama tempoh pajakan 30 tahun.
-- BERNAMA