KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sebelum ini dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dengan berkerusi roda.

Beliau hadir pada Selasa bagi menyambung perbicaraan rasuahnya atas penyelewengan dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Ahli Parlimen Pekan berusia 71 tahun kelihatan lemah tetapi sempat melambai kepada media di pintu masuk mahkamah.

Sebelum prosiding bermula, beliau berjalan menggunakan tongkat dengan perlahan memasuki kamar mahkamah dan hakim membenarkan Najib duduk di luar kandang tertuduh bagi membolehkannya meregangkan kaki.

Perbicaraan sebelum ini ditangguhkan berikutan kemasukan Najib ke HKL pada 9 September kerana keradangan lutut yang teruk.

Semasa perbicaraan pada 10 September di hadapan hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, perunding kanan Jabatan Ortopedik dan Traumatologi HKL, Dr Siti Hawa Tahir memaklumkan keadaan Najib dan mahkamah menangguhkan dua hari.

Bagaimanapun mahkamah pada 12 September diberitahu Najib masih berada di hospital menyebabkan penangguhan perbicaraan sehingga hari ini.

Prosiding hari ini memasuki hari ketujuh di peringkat penghujahan lisan, tiada testimoni saksi dikemukakan.

Pasukan pembelaan dan pendakwaan sedang menyediakan hujah terakhir bagi mengemukakan kesimpulan sama ada bukti lisan dan dokumentari akan mensabitkan atau membebaskan Najib daripada pertuduhan.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB di cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Beliau turut berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Bekas Presiden UMNO itu didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama dan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.