ALOR SETAR: Bomba berjaya menyelamatkan seramai 24 orang mangsa termasuk tiga orang kanak-kanak yang terperangkap di Kampung Kubang Kayu, Bukit Kayu Hitam, di sini pada Selasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat  (BBP) Bukit Kayu Hitam, Zulkifli Manaf berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10.51 pagi tadi.

“Sepasukan anggota bomba dari BBP Bukit Kayu hitam telah digerakkan ke lokasi dan sebaik tiba di lokasi terdapat 24 mangsa yang terperangkap terdiri daripada 21 dewasa dan tiga kanak-kanak.

“Tindakan operasi pemindahan dijalankan dan kesemua mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Katanya, berdasarkan pemantauan di lokasi paras air sedang surut dan kerja-kerja pemantauan diteruskan bagi memastikan tiada mangsa yang terperangkap.

Dalam kejadian berasingan, seramai 13 mangsa banjir yang terperangkap di Kampung Paya Tok Betok, Kulim turut diselamatkan pada jam 8 pagi tadi.

Kerja-kerja pemantauan diteruskan bagi memastikan tiada mangsa yang terperangkap. - Foto JBPM

Ketua BBP Kulim Hamizul Azwan Hamdan berkata setibanya di lokasi didapati 11 mangsa telah berjaya dikeluarkan termasuk dua orang kurang supaya (OKU) yang lumpuh telah diselamatkan oleh orang awam.

"Ketika kerja pemantauan dilakukan, bomba menerima maklumat bahawa terdapat dua lagi mangsa OKU penglihatan yang terperangkap.

"Sementara itu, tiga lagi kawasan iaitu Lorong Temengong, Taman Anggerik dan Kampung Padang Tembak yang turut mengalami banjir tidak melibatkan mangsa yang terperangkap. Kerja pemantauan masih dijalankan bagi memastikan tiada mangsa lain yang terlibat," katanya.

Dalam pada itu, Ketua BBP Jitra Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin berkata seorang wanita warga emas yang berusia 80 tahun di Kampung Kota Mengkuang telah dipindahkan ke PPS selepas rumahnya dinaiki air.