KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 menerima 171 usul daripada keseluruhan 191 bahagian selepas semua 17,998 cawangan selesai bersidang.


Ringkasan AI
  • Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 menerima 171 usul, dengan 72 daripadanya menuntut keadilan dan pengampunan penuh untuk Datuk Seri Najib Tun Razak.
  • Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, menekankan bahawa UMNO akan terus memperjuangkan keadilan untuk Najib dan menyeru ahli untuk berdoa bagi pembebasannya.
  • Jumlah keahlian UMNO meningkat sebanyak 46,055 orang, menjadikan jumlah keseluruhan ahli seramai 3,447,445 orang pada 31 Julai.


Daripada 171 usul, sebanyak 72 daripadanya adalah berkisarkan menuntut keadilan dan pengampunan penuh buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki ketika membentangkan laporan dalam PAU 2024 pada Jumaat.

“Usul tertinggi daripada 72 bahagian adalah untuk kita terus menuntut keadilan dan pengampunan penuh kepada ‘bossku’ Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

“Sesungguhnya, selagi ‘bossku’ terperangkap di sebalik tirai besi, suara dan ikhtiar UMNO tidak akan pernah terhenti malah berilah kepercayaan dan keyakinan penuh kepada kepimpinan tertinggi.

“Saya mohon untuk kita terus berdoa kerana doa inilah senjata kita. Semoga Allah melembutkan hati dan membuka jalan agar pembebasan Datuk Seri Najib ini berlaku akhirnya mengikut Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Tambah beliau, meskipun kuasa bukan di tangan UMNO, namun beliau menasihatkan ahli untuk tetapkan keyakinan kepada Allah kerana Allah adalah pemilik hati.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan ahli UMNO bertambah sejumlah 46,055 orang, berdasarkan rekod terkini pada 31 Julai.

Jelasnya, ia menjadikan jumlah keseluruhan ahli UMNO ketika ini adalah seramai 3,447,445 orang.