KUALA LUMPUR: Prosiding kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk hari ini dan esok ditangguhkan kerana beliau mendapat cuti sakit selama dua hari disebabkan masalah sakit lutut.

Perunding kanan Jabatan Ortopedik dan Traumatologi Hospital Kuala Lumpur Dr Siti Hawa Tahir memaklumkan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa Najib telah dirujuk kepadanya semalam oleh Jabatan Penjara selepas beliau mengadu mengalami sakit akut di lutut kanannya.

"Datuk Seri Najib diberi sijil sakit (MC) dua hari dan rawatan semasa yang diberikan kepadanya adalah analgesik yang kuat untuk kesakitannya. Buat masa ini beliau menggunakan opioid dan kami mahukan supaya beliau dapat berjalan dengan selesa tanpa komplikasi lain.

"Ubat itu adalah opioid dan bertindak ke atas otak. Beliau mengadu mengantuk sejak kami mula memberinya preskripsi malam tadi dan mungkin ada gejala lain juga, tetapi saya tidak melihatnya pagi ini," jelas Dr Siti Hawa dari tempat saksi.

Ketika ditanya oleh Hakim Sequerah sama ada Najib layak untuk menghadiri perbicaraan esok, Dr Siti Hawa berkata opioid mungkin menyebabkan beliau mengantuk, jadi Najib mungkin tidak dapat berdiri lama.

"Apabila mana-mana pesakit menggunakan opioid, pasukan perubatan perlu bersiap sedia lengkap dengan troli resusitasi sekiranya masalah pesakit menjadi semakin serius.

"Saya benar-benar tidak boleh mengulas berapa cepat masalah itu akan beransur hilang kerana ia bergantung kepada individu, dan kita perlu memastikan beliau serasi dengan rawatan yang diberikan, atau mungkin perlu meneruskan beberapa prosedur lain," katanya.

Hakim Sequerah berkata jika keadaan lutut Najib berpanjangan, beliau mungkin memerlukan Dr Siti Hawa untuk kembali ke mahkamah dan menjelaskan lebih lanjut mengenai situasi itu.

"Kita kehilangan dua hari yang berharga kerana saya akan menganggapnya sebagai dua hari MC. Kita akan teruskan perbicaraan pada hari Khamis," katanya.

Hakim Sequerah juga mengingatkan pihak terlibat bahawa tarikh tamat untuk hujahan akhir adalah pada 4 Okt dan beliau akan bersedia untuk menetapkan tarikh bagi menyampaikan keputusan penghakiman kemudiannya.

Prosiding kini memasuki hari ke enam di peringkat penghujahan lisan, tiada testimoni saksi dikemukakan. Pasukan pembelaan dan pendakwaan sedang menyediakan hujah terakhir, bagi mengemukakan kesimpulan sama ada bukti lisan dan dokumentari akan mensabitkan atau membebaskan Najib daripada pertuduhan.

Najib, 71, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB di cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Beliau turut berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Najib didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, dan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

-- BERNAMA