Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah membuka satu kertas siasatan berhubung penyebaran berita tidak benar mengenai perihal yang berlaku di Istana Negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, individu tersebut seolah-olah begitu yakin dengan undi yang diberikan kepada pihak berkenaan, dipercayai berhubung perlantikan Perdana Menteri baharu.

“Bagaimana orang luar boleh mengetahui apa yang berlaku dengan jumlah undi yang kononnya tepat.

“Jadi, jangan main-main dengan perkara ini. Saya sudah arahkan pihak Jabatan Siasatan Jenayah untuk mengambil tindakan segera,” katanya kepada pemberita, di sini, pada Jumaat.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong bersama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, hari ini untuk memberi taklimat berhubung keselamatan negara berikutan perkembangan politik semasa.

Abdul Hamid dalam pada itu mendedahkan terdapat cubaan pihak-pihak tertentu untuk membawa masuk anasir luar bagi memberikan sokongan kepada parti politik.

Katanya, perbuatan tersebut tidak seharusnya berlaku dan ia disifatkan sebagai pengkhianatan terhadap negara.

“Ada elemen dari luar untuk masuk dalam (negara) bagi membantu sesiapapun. Itu saya anggap sebagai pengkhianatan terhadap negara.

“Jangan libatkan orang luar dalam perbalahan politik adik-beradik,” tegasnya.