SEPANG: Kerajaan yakin Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berpotensi menjadi hab kargo di rantau ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata KLIA memiliki faktor yang diperlukan untuk terus berkembang dan menjadi hab kargo bagi rantau ASEAN, mengambil kira perkembangan ketara di kawasan itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan banyak kompleks pergudangan kargo baharu diwujudkan.

"KLIA adalah lapangan terbang yang besar dan ia bukan hanya menempatkan terminal penumpang, malah kargo juga adalah komponen yang sangat penting di lapangan terbang itu.

"Seperti yang anda lihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, perkembangan besar telah berlaku di bahagian KLIA ini," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perkongsian strategik antara MMAG Aviation Consortium Sdn Bhd (MAC) dan Unilode Aviation Solutions, di sini hari ini.

Loke berkata KLIA berpotensi menjadi hab pusat bagi ASEAN kerana rangkaiannya yang luas dan mempunyai ketersambungana antara yang terbaik di rantau ini.

"Melalui syarikat penerbangan tempatan, terutamanya syarikat penerbangan tambang rendah kami, kami memberi perkhidmatan kepada banyak bandar sekunder di ASEAN, seperti di Indonesia, Thailand dan Kemboja.

"Dengan rangkaian kukuh KLIA, kami harus menggunakan sepenuhnya sumber kami, dan saya yakin semua syarikat penerbangan turut mempertimbangkan perkara ini," katanya.

Sementara itu, Loke berkata sebagai menteri pengangkutan, beliau akan meneruskan peranannya untuk memastikan sektor pengangkutan dan logistik kekal berdaya saing, cekap dan sejajar dengan piawaian antarabangsa.

Beliau berkata kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan, berusaha untuk mewujudkan persekitaran kondusif yang menggalakkan inovasi, pertumbuhan, dan pembangunan mampan dalam sektor berkenaan.

"Menerusi Dasar Pengangkutan Pengangkutan Negara 2019-2030 kami mengutamakan pengukuhan dalam taddbir urus dan membina rangka kerja institusi yang teguh serta boleh disesuaikan dengan permintaan industri logistik yang berkembang pesat.

"Dengan teknologi baharu dan teknologi pengganggu yang semakin meningkat, kami harus memastikan rangka kerja ini membolehkan pemain industri beroperasi dengan berkesan dalam persekitaran yang kompetitif sambil memastikan pengguna menerima perkhidmatan logistik bersepadu dan cekap," katanya.

-- BERNAMA