Ura-ura mengenai “kerajaan pintu belakang” di negeri Melaka kembali bertiup selepas dilaporkan akan berlaku usul undi tidak percaya yang dijadual bakal diusulkan pada hari keempat persidangan ketiga (BAJET) penggal kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14, di Seri Negeri, Ayer Keroh esok.


Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari bagaimanapun menepis dakwaan gerakan usul berkenaan dan yakin persidangan pada esok tidak akan terganggu dengan khabar angin mahupun permainan politik pihak tertentu.

“Saya tidak dengar pun sebab memang kita ikut jadual sidang DUN macam biasa kerana esok adalah penggulungan dan penerimaan bajet.

“Saya rasa tidak timbul isu itu kerana hubungan saya dengan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan juga Exco baik seperti biasa memandangkan mereka semua ada peranan masing-masing," katanya ketika ditemui di sini hari ini.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal dengan memetik laporan akhbar berbahasa Cina yang melaporkan, seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH) Melaka telah bertemu dengan wakil rakyat UMNO di luar negara bagi mengukuhkan rancangan menjatuhkan Adly Zahari daripada jawatan ketua menteri esok.


Undi tidak percaya berkenaan didakwa akan dilakukan dengan menafikan bajet negeri yang akan dibentangkan dalam mesyuarat Dewan Undangan Negeri.


Dikhabarkan, seramai empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH akan bekerjasama dengan ADUN UMNO untuk memberi laluan kepada “kerajaan pintu belakang”.

Mengulas lanjut Adly yang juga ADUN Bukit Katil berkata, persidangan DUN akan berjalan mengikut jadual selain persediaan dari segi penggulungan dan perbahasan sebelum pengundian berhubung bajet 2020 negeri dijalankan seperti biasa.


“Persediaan itu, undi tidak percaya terpulanglah kepada siapa yang tidak percaya dan pembangkang memang tidak percaya dengan kerajaan, itu sahaja,” tambahnya.

Sementara itu, Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen bagaimanapun menegaskan dirinya tidak terlibat dengan undi tidak percaya berkenaan meskipun namanya antara yang dikaitkan dengan agenda “kerajaan pintu belakang” ini.

Oktober lalu, desas-desus wujud usul untuk menggantikan kepemimpinan Adly melalui pembentukan 'kerajaan pintu belakang' di negeri ini mula bertiup kencang.


Selain menyatakan kerajaan negeri Melaka akan menjadi ujian pertama, usaha kerjasama bagi membentuk ‘kerajaan pintu belakang’ itu didakwa membabitkan sebuah parti komponen dalam PH dengan UMNO di peringkat pusat.


Untuk rekod, kerajaan PH Melaka ketika ini menguasai sebanyak 15 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.