KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini meluluskan peruntukan dan pengagihan semula kuota tenaga boleh baharu (TBB) sebanyak 1,200 megawat (MW) bagi sumber solar.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) ke-5 2022 di sini hari ini.

Jelasnya, ia sebahagian daripada usaha Malaysia untuk menyertai arus perkembangan semasa dan komitmen antarabangsa dalam merealisasikan matlamat menangani cabaran perubahan iklim.

Meskipun Malaysia katanya menyumbang kurang 0.7 peratus daripada jumlah pelepasan gas rumah hijau (GHG) dunia, namun usaha berterusan akan terus dilaksanakan kerajaan seiring keperluan semasa.

"Komitmen ini juga merupakan suatu wawasan yang selaras dengan semangat Keluarga Malaysia bagi mewujudkan Malaysia yang lebih makmur, inklusif dan mapan, selain membangunkan industri tenaga lestari tempatan yang kompeten dan berwibawa.

"Pada masa ini, trend semasa dunia dilihat begitu agresif dalam mengurangkan jejak karbon, khususnya melibatkan pembangunan dan pelaburan tenaga elektrik daripada sumber lestari terutamanya di sektor pengangkutan, pemanasan dan penyejukan serta proses industri, " katanya dalam ucapan tersebut.

Impak perkembangan industri TBB juga, jelas Ismail Sabri, adalah sesuatu yang memberikan kesan positif kepada negara.

Ini kerana, menurutnya, sektor tersebut mampu meningkatkan pelaburan serta permintaan bekalan elektrik mesra alam atau elektrik hijau, sekali gus akan membuka peluang ekonomi dan perniagaan baharu kepada pemain industri TBB tempatan.

Namun, kata perdana menteri, ia perlu didukung melalui penetapan dasar perancangan penjanaan dan pembekalan elektrik yang lebih kompetitif, bercita-cita tinggi dan dicorak berasaskan perkembangan dan permintaan semasa.

"Ini termasuk penyediaan mekanisma dan sistem pembekalan yang anjal dan responsif, melalui teknologi moden dan pintar, bagi mengendalikan kemasukan tenaga boleh baharu yang lebih tinggi dan menguruskan permintaan tenaga secara efisien.

"Perkara ini penting dalam menjadikan Malaysia lebih mampu menarik kemasukan pelaburan langsung asing kerana kelebihannya menyediakan capaian kepada bekalan elektrik hijau yang berkualiti," katanya lagi.

Justeru, kerajaan menerusi Kementerian Tenaga dan Sumber Asli telah menerajui perubahan dasar ini dengan menambah baik kerangka dasar dan regulatori pembekalan elektrik sedia ada, agar selaras dengan keperluan dan permintaan semasa.

Dengan terlaksananya peruntukan dan pengagihan semula kuota TBB itu juga, inisiatif perintis pembangunan Pulau Tenaga Hijau di Pulau Redang dan Pulau Perhentian, Terengganu dapat dilaksanakan, bagi menyediakan bekalan elektrik yang konsisten, mampu bayar dan rendah pelepasan karbon.

"Pengguna elektrik di kedua-dua buah pulau peranginan itu akan menerima bekalan elektrik selama 24 jam menjelang tahun 2025, sekali gus mengurangkan kira-kira 70 peratus pelepasan gas rumah kaca," kata Ismail Sabri.

Kerajaan juga, katanya, akan membangunkan kerangka Renewable Energy Certificate (REC) Kebangsaan yang jelas dengan tadbir urus dan kawal selia yang baik dan teratur, agar REC yang dihasilkan di negara ini mempunyai kredibiliti, telus dan nilai yang tinggi.

"Ini akan meyakinkan syarikat korporat untuk melakukan offset terhadap jejak karbon dari sumber penjanaan bahan api fosil melalui instrumen REC," tambahnya.

Malah, menurut Ismail Sabri lagi, kerajaan akan menetapkan kerangka perundangan kawal selia keselamatan pembangunan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) supaya aspek keselamatan awam dan pengguna terpelihara dan terjamin.

Sehubungan itu, Garis Panduan Pembangunan Infrastruktur EV di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) akan dikuatkuasakan pada suku tahun keempat 2022 bagi memastikan pembangunan infrastrukturnya dilaksanakan dengan selamat dan teratur mengikut piawaian yang ditetapkan.

"Saya juga ingin memaklumkan bahawa, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama Syarikat MySuri Biz Technologies Sdn Bhd akan menyediakan 1,000 unit EV teksi, sebagai menyokong usaha penyahkarbon negara.

"Keterlibatan pihak GLC seperti TNB perlu dipergiatkan bagi menyokong pembangunan industri EV negara," katanya.