Seorang anggota Dewan Negara pada Isnin meminta agar kerajaan mengutamakan projek pembinaan lebuh raya berbanding pembinaan Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Senator Datuk Razali Idris berkata keputusan kerajaan untuk mengkaji semula pembinaan ECRL adalah tepat memandangkan ia bukanlah keperluan mendesak bagi negeri di Pantai Timur.

"Sebenarnya keperluan mendesak pada masa ini adalah menyiapkan projek Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) sepanjang 165 kilometer yang menghubungkan sambungan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu, Kelantan.

"Tindakan kerajaan menangguhkan pembinaan ECRL disebabkan perbelanjaan besar adalah tepat dan yang kita terdesak adalah projek-projek telah sedia ada jaringan," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Negara, hari ini.

Razali juga meminta kerajaan menyelesaikan pembinaan projek jalan raya Simpang Pulai-Lojing-Gua Musang-Kuala Berang untuk kemudahan penduduk.

Persidangan Dewan Negara bersambung hari ini.

-- BERNAMA