PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju untuk meminda tujuh akta berkaitan pelaksanaan cadangan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Parlimen), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, mesyuarat Kabinet hari ini telah meneliti, dan membincangkan semula cadangan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori. 

Azalina berkata, tujuh akta tersebut ialah: RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022; RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2022; RUU Keadilan Jenayah (Pindaan) 2022; RUU Penculikan (Pindaan) 2022; RUU Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (Pindaan) 2022; RUU Senjata (Pindaan) 2022; dan RUU Dadah Berbahaya (Pindaan) 2022.

Katanya lagi, Jabatan Peguam Negara telah meneliti dasar pelaksanaan cadangan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori yang melibatkan 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori sebagaimana peruntukan Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api Lebih Berat 1971

Selain itu, turut diteliti ialah 23 kesalahan yang membawa hukuman mati tertakluk budi bicara Mahkamah di bawah Kanun Keseksaan, Akta Senjata 1960, Akta Senjata Api Lebih Berat 1971 dan Akta Penculikan 1961.


“Penangguhan pelaksanaan hukuman mati (Moratorium) masih dikekalkan bagi pesalah hukuman mati sehingga semua pindaan RUU tersebut dilaksanakan.

“Pelaksanaan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori ini dijangka akan memberi kesan langsung kepada seramai 1,327 orang banduan yang telah dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah.

“Manakala bagi lain-lain individu yang belum dituduh, hukuman gantian terhadap hukuman mati boleh dikuatkuasakan secara prospektif,” katanya lagi.

Dalam pada itu Azalina berkata, pindaan undang-undang yang berkaitan tidak memansuhkan hukuman mati sepenuhnya, tetapi memberi budi bicara kepada Mahkamah untuk memutuskan hukuman yang setimpal berdasarkan fakta kes.

Jelasnya lagi, pelaksanaan cadangan hukuman gantian ini merupakan komitmen Kerajaan untuk memastikan pelaksanaan pemansuhan hukuman mati mandatori diteliti secara mendalam dan terperinci dari semua aspek.

Azalina berkata, ia penting agar sebarang tindakan susulan Kerajaan berkaitan isu tersebut memberikan impak yang positif kepada negara.

“Rang Undang-Undang berkaitan pemansuhan hukuman mati mandatori ini dijangka dibentangkan di sidang Parlimen pada Februari 2023. Sistem keadilan jenayah adalah asas utama bagi masyarakat yang selamat dan aman.

“Oleh itu, Kerajaan juga akan mempertimbangkan kajian susulan Fasa 2 yang melibatkan pembaharuan sistem keadilan jenayah seperti dasar penghukuman (sentencing policy) yang lebih berkesan, hukuman sebatan dan pembaharuan sistem penjara yang merangkumi langkah-langkah untuk mengurangkan kesesakan penjara,” katanya lagi.

Selain itu, Azalina berkata, fokus juga akan diberi terhadap pendekatan hukuman yang berteraskan pemulihan dan keadilan restoratif (restorative justice).

Azalina membentangkan cadangan berkenaan pada Rabu.