KUALA SELANGOR: Seramai 11 mangsa masih menerima rawatan di wad hospital kerajaan berikutan mengalami gejala keracunan makanan selepas memakan sarapan pagi pada Program Kemahiran Amal Islami (Kamil) Peringkat Daerah Gombak, Sabtu lalu.


Ringkasan AI
  • Sebanyak 11 mangsa sedang dirawat di hospital kerajaan selepas mengalami keracunan makanan pada Program Kamil di Gombak pada Sabtu lalu. Mereka masih dalam keadaan stabil.
  • Kementerian Kesihatan mendapati kes keracunan ini disebabkan oleh bakteria Salmonella, yang juga menyebabkan dua kematian dalam kejadian tersebut.
  • Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan perlunya platform e-dagang seperti Shopee memastikan produk makanan dan ubat-ubatan mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mengelakkan penjualan produk yang tidak berdaftar dan berisiko kepada pengguna.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, semua mereka masih menerima rawatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

"Sehingga kini, kes (keracunan makanan) di Gombak masih dirawat di wad dan tiada kesan serius," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar selepas Penyampaian Sumbangan Pek Kasih Mama di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) Puncak Alam di sini pada Sabtu.

Sebanyak 300 pek penjagaan ibu telah disampaikan dalam program itu merangkumi barangan penjagaan bayi dan ibu seperti lampin, tisu basah bayi, produk mandian, tuala, keperluan penyusuan anak dan produk penjagaan kulit yang selamat untuk wanita hamil dan menyusukan anak.

Dr Dzulkefly berkata, sehingga kini seramai 105 individu telah mendapatkan rawatan selepas mengalami gejala keracunan makanan selepas kes itu dikesan pada 8 Mei lalu.

Beliau memaklumkan, kementeriannya juga mengesan bakteria Salmonella dalam sampel najis yang diambil berkaitan kejadian keracunan makanan yang menyebabkan dua kematian dalam kejadian itu.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya masih menunggu lanjutan daripada keputusan sampel lain daripada individu yang ditahan di wad hospital itu.

"Buat sementara waktu ini, (kes dirawat di wad) kita kenal pasti keracunan makanan berpunca daripada bakteria Salmonella," katanya.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly meminta platform e-dagang termasuk Shopee mengambil tanggungjawab bagi memastikan semua ubat dan produk makanan tambahan mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau menegaskan, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) sekiranya terdapat aduan mengenai penjualan produk itu secara dalam talian.

"Kita bimbang penggunaan ubat tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi menyebabkan kesan sampingan.

"Kita akui, ada beberapa produk makanan tambahan dan ubatan yang telah kita ambil tindakan, namun perkara ini akan kita maklumkan dari semasa ke semasa melalui kenyataan akhbar," tambah beliau. - Sinar Harian