PUTRAJAYA: Keputusan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat memberikan kelulusan cuti bersalin sebanyak 60 hari kepada pegawai perubatan PKD, adalah tidak melanggar peraturan cuti bersalin yang ditetapkan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata ketua jabatan boleh mempertimbangkan permohonan cuti bersalin antara 60 hari hingga 90 hari kepada pegawai, dengan mengambil kira kepentingan perkhidmatan.

"Dalam hal ini, kelulusan cuti bersalin sebanyak 60 hari yang diberikan kepada pegawai perubatan di PKD Hulu Langat adalah di bawah pertimbangan ketua jabatan berkenaan, mengambil kira kepentingan perkhidmatan agar perkhidmatan kesihatan kepada orang awam tidak terjejas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama sebagai maklum balas terhadap isu dibangkitkan sebuah portal berita tempatan yang PKD Hulu Langat menetapkan cuti bersalin selama 60 hari bagi pegawai perubatan yang bertugas di klinik Kesihatan daerah itu sejak 27 Jun.

Wan Ahmad Dahlan berkata kemudahan cuti bersalin diperuntukkan melalui Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Ceraian SR.5.4.1 dan diberikan kepada pegawai wanita untuk bersedia dan pulih daripada bersalin.

"Cuti bersalin ialah bergaji penuh dengan kadar kelayakan sebanyak 360 hari sepanjang tempoh perkhidmatan. Tempoh maksimum cuti bersalin bagi setiap kelahiran ialah 90 hari dan tempoh mandatori minimum cuti bersalin ialah 60 hari bagi setiap kelahiran.

"Walau bagaimanapun, pegawai diberi fleksibiliti untuk menentukan sendiri tempoh cuti bersalin antara 60 hari hingga 90 hari bagi setiap kelahiran," katanya.

Ditanya adakah ada penggantian cuti untuk pegawai tersebut, beliau berkata: 'Tidak ada penggantian untuk 30 hari cuti yang tidak diambil oleh pegawai.

"Walau bagaimanapun, pegawai mempunyai kelebihan dari segi baki cuti bersalin yang masih banyak dan boleh digunakan untuk kelahiran anak yang seterusnya," katanya.

-- BERNAMA