Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata seruan dan gesaan untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam bukan perkara baharu malah menjadi mekanisme utama dalam memperinci gerak kerja bagi membangunkan tatakelola lebih efisien menerusi nilai-nilai penting yang harus diamalkan di seluruh peringkat organisasi.
"Saya amat berbesar hati dan menyahut baik seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha mereformasikan perkhidmatan awam dengan segera demi membangunkan kompetensi awam menerusi pelbagai aspek terutama dalam memberi nilai tambah kepada daya saing agar sentiasa progresif," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Bitara Intan Bicara Aspirasi H.E.M.A.T: Menjunjung Aspirasi Memacu Prestasi bersama KPPA dan Pelancaran Buku H.E.M.A.T: Menjunjung Aspirasi, Memacu Prestasi di sini hari ini.
H.E.M.A.T adalah akronim bagi Hijrah Tatakelola, Empati Rakyat, Minda Pekin, Apresiasi Inovasi dan Telus Tadbiran yang mengehendaki penjawat awam untuk sentiasa berani berhijrah menerusi kepekaan dengan tuntutan perubahan semasa, menjalankan tugas dengan rapi, cekap dalam pelaksanaan tugas dan mengamalkan komunikasi secara efisien.
-- BERNAMA