Keputusan analisa ke atas sampel kopi pracampuran yang menyebabkan tujuh individu mengalami gejala sawan dan pening akan diketahui dalam tempoh seminggu lagi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S.Subramaniam pada masa sama menasihatkan orang ramai agar berhati-hati jika ada pihak memberikan secara percuma kopi pracampuran seumpama itu.

Ia bagi mengelak sebarang kejadian sama daripada berulang.

“Kopi campuran itu masih dijual (di pasaran). Namun, saya nasihatkan orang ramai kalau ada orang beri paket kopi seperti itu supaya berhati-hati,” katanya semasa ditemui media selepas merasmikan Minggu Kanser Sedunia 2018 di Temple of Fine Arts di sini hari ini.


Dalam pada itu, Subramaniam berkata, pihaknya mahu polis melakukan siasatan kemungkinan berlaku kes jenayah dalam insiden yang menimpa mangsa yang diberikan paket minuman kopi pracampuran berkenaan.

"Ada persamaan semua kes antara satu sama lain dan didapati tiada mangsa terlibat membelinya dari kedai. Mereka mendapat kopi berkenaan dari seseorang atau memungutnya dari tong sampah.

"Jadi, saya rasakan ada bahan yang diragui dalam paket kopi yang terlibat dan sebab itu kami mahu polis menyiasat perkara ini," kata Subramaniam.


Malah pihaknya telah melakukan pemeriksaan ke atas kilang terlibat dan mendapati tiada bukti atau bahan yang menyebabkan kejadian berkenaan.

"Sekarang saya juga telah arahkan supaya pemeriksaan dilakukan ke atas paket-paket kopi di rak-rak (kedai). Jika didapati ada bukti (bahan terlarang) semasa proses mengilangkan kopi berkenaan, kami akan beritahu.

"Bagaimanapun, jika berlaku sebarang perlakuan jenayah, maka kita perlu cari pendekatan lain (untuk menyelesaikannya)," jelasnya.


Sehingga kini, tujuh orang menjadi mangsa kopi campuran berkenaan.

Ia termasuk paling terbaru, dua lelaki meminum minuman itu yang ditemui di dalam tong sampah.